MOHD Shahrir menunjukkan ular sawa batik yang memakan ayam ternakannya.
MOHD Shahrir menunjukkan ular sawa batik yang memakan ayam ternakannya.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Berang: Misteri kehilangan lebih 10 ekor ayam di reban di Kampung Cepoh, Telemong, dekat sini, sejak tiga bulan lalu terjawab apabila seekor ular sawa sepanjang 3.5 meter berjaya ditangkap, semalam.

Ular sawa batik seberat 10 kilogram itu ditangkap jam 3 pagi selepas pemiliknya terdengar bunyi bising dari reban yang menempatkan 100 ekor ternakan itu.

Menurut pemiliknya, Mohd Shahrir Mustapha, 35, sehingga kini, lebih 10 ekor ayam miliknya hilang tanpa diketahui puncanya.

“Selama ini, saya ingatkan ternakan yang hilang dimakan musang dan hari ini 9semalam), semuanya terjawab selepas menemui ular sawa di dalam reban.

“Ketika itu, saya tidur dan terjaga apabila terdengar bunyi bising ayam di dalam reban jam 3 pagi sebelum membuat pemeriksaan.

“Sebaik tiba di reban, reptilia itu sudah menelan seekor ayam dan cuba menelan ayam yang lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mohd Shahrir berkata, dia pada mulanya ingin menangkap ular itu dan menyerahkannya kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), tetapi reptilia itu bertindak agresif.

“Saya terpaksa membunuhnya kerana reptilia itu cuba menggigit tangan saya.

“Selama ini, saya ingatkan musang yang membaham ternakan tetapi sangkaan itu meleset,” katanya.

Sementara itu, Pengarah APM negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, banyak haiwan berbisa terutama ular akan ke kawasan tinggi berikutan habitatnya digenangi air sepanjang musim banjir.

“Ular terutama ular sawa akan terdorong ke kawasan penternakan kerana selain mencari tempat berlindung, ia mencari makanan di kawasan penternakan berkenaan.

“Bau najis ayam akan mendorong ular sawa ke reban ayam. Justeru, tidak pelik sekiranya banyak kes ayam hilang dimakan ular sawa pada musim banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 10:03 AM