ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kulim di sekitar daerah ini. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA penagih dadah yang ditahan dalam Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kulim di sekitar daerah ini. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


KEASYIKAN sembilan lelaki melepaskan gian menghisap dadah terbantut apabila sarang penagihan mereka di Kampung Bukit Chong, Jalan Merbau Pulas dan Sungai Karangan, Kulim diserbu polis semalam.

Dalam Operasi Bersepadu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kulim itu diadakan bermula 6.30 pagi hingga 2 petang bagi menangani masalah penagihan dadah di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, pihaknya yang menerima aduan dan risikan bertindak membuat serbuan di lokasi terbabit diketuai Pegawai Risikan Operasi Tahanan BSJN IPD Kulim Inspektor Shahrol Ehsanizam Shaari bersama tujuh anggota dibantu empat anggota AADK.

Menurutnya, operasi itu berjaya menahan sembilan orang berusia 24 hingga 52 tahun dan kawasan sarang penagihan itu turut dimusnahkan.

"Ketika serbuan itu, mereka yang panik melihat kehadiran pihak berkuasa terus melarikan diri meninggalkan motosikal, namun gagal apabila berjaya ditahan.

"Dalam operasi itu juga kita merampas dadah heroin seberat 3.13 gram dan syabu seberat 0.45 gram," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Nasir berkata, dua suspek disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, seorang disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952.

"Manakala enam lagi suspek diserahkan kepada AADK untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983," katanya.

Beliau berkata, operasi ini akan dijalankan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras penagihan dadah di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 3:34 PM