SEBAHAGIAN pelajar lelaki bersiap meninggalkan asrama selepas kejadian kebakaran pada jam 1 pagi tadi disebuah sekolah menengah agama di Kampung Chengkau, Rembau. FOTO Hazreen Mohamad
SEBAHAGIAN pelajar lelaki bersiap meninggalkan asrama selepas kejadian kebakaran pada jam 1 pagi tadi disebuah sekolah menengah agama di Kampung Chengkau, Rembau. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


DALAM keadaan panik, Ahmad Mirza Khairudin, 17, berlari keluar menyelamatkan diri selepas menyedari asrama didiaminya terbakar awal pagi ini, namun dia masuk semula untuk mengejutkan rakannya yang masih tidur.

Menurut Ahmad Mirza, seorang daripada 85 penghuni asrama lelaki Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Kampung Chengkau, Rembau, itu pada mulanya dia menyangka ia hanya mimpi.

Kata pelajar tingkatan lima itu, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu bau asap pada 1.30 pagi.

"Apabila bangun, saya nampak api di bawah katil dan terus berlari keluar dan memberitahu dua rakan yang sedang mengulang kaji pelajaran di luar asrama.

"Saya dan rakan kemudian masuk ke dalam bilik dan mengejutkan penghuni lain. Pada masa sama, api semakin marak dan ada rakan cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api tapi gagal," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ahmad Mirza berkata, semua pakaian, buku dan dokumen peribadi milik mereka musnah dalam kebakaran itu.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur tiada yang terkorban dalam kejadian itu dan dia akan pulang ke rumah keluarganya di Semenyih, Selangor, selepas diberi pelepasan oleh guru.

Seorang lagi pelajar, Harith Akmal R Zahari, 13, berkata, dia terjaga selepas mendengar jeritan rakan yang memberitahu asrama sedang terbakar.

"Saya melihat api sudah marak lalu berlari keluar. Kami terpaksa berkaki ayam kerana selipar kami sudah dijilat api," katanya yang dijemput ibu bapa untuk pulang ke rumah di Gemencheh.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, siasatan awal mendapati kebakaran disyaki bukan berpunca daripada sistem pendawaian.

Menurutnya, pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di sekolah berkenaan tahun lalu dan mendapati sistem pendawaian berada dalam keadaan baik, malah pihak pengurusan juga mengikut peraturan ditetapkan.

Anggota bomba giat menjalankan tugas menyiasat punca kebakaran sebuah asrama lelaki sebuah sekolah menengah agama di Kampung Chengkau, Rembau. FOTO Hazreen Mohamad
Anggota bomba giat menjalankan tugas menyiasat punca kebakaran sebuah asrama lelaki sebuah sekolah menengah agama di Kampung Chengkau, Rembau. FOTO Hazreen Mohamad

"Kita akan menyiasat punca kebakaran meliputi semua aspek dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9). Kita turut mengarahkan sekolah tidak menggunakan asrama ini bagi membolehkan siasatan dilakukan dalam tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata, seramai 25 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Senawang dan Seremban 2 terbabit dalam operasi pemadaman itu yang mengambil masa kira-kira setengah jam.

Ia kejadian kebakaran kedua berlaku di sekolah itu dengan kejadian pertama membabitkan asrama perempuan menempatkan 37 pelajar, dalam kejadian 1.50 pagi, 28 September tahun lalu.

Berita berkaitan

Asrama hangus

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 1:08 PM