MANGSA ditenangkan selepas rumah terbakar.
MANGSA ditenangkan selepas rumah terbakar.
Zairee Mohd Yasak

Melaka: Dua beradik perempuan berusia 10 dan lapan tahun sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka terbakar dalam kejadian di Taman Limbongan Permai, Limbongan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang, dua beradik yang ditinggalkan sendirian berjaya keluar sambil memberitahu jiran api marak di bahagian dapur rumah mereka.

Kebakaran mengakibatkan hampir 80 peratus rumah jenis ‘townhouse’ (rumah bandar) itu musnah manakala kediaman bersebelahan turut mengalami kerosakan sebanyak 20 peratus pada siling, bumbung dan dinding.

Saksi kejadian Norazura Ismail, 36, berkata dia kebingungan selepas dua beradik dengan raut wajah cemas datang ke rumahnya untuk memberitahu mengenai kebakaran itu.

“Pada mulanya saya sangka hanya berlaku kebakaran kecil sahaja. Apabila saya pergi ke rumah mereka untuk memeriksa didapati api marak di dapur dan seluruh kediaman dipenuhi asap hitam yang tebal.

“Saya membawa dua beradik itu ke tempat lapang berhampiran kerana risau jika berlaku letupan dan terus menghantar SMS kepada ibu bapa mereka yang berada di sebuah restoran asam pedas di Kota Laksamana,” katanya.

Bapa mangsa, Mohd Mahathir Zainol, 32, berkata dia bekerja di restoran berkenaan dan isterinya datang membantu seketika sebelum pulang ke rumah untuk menjaga anak-anak mereka.

“Kami bergegas meninggalkan restoran selepas membaca SMS daripada jiran. Syukurlah tiada apa-apa yang berlaku kepada kedua-dua anak saya.

“Saya tidak sangka perkara begini berlaku memandangkan mereka berdua kerap ditinggalkan bersendirian di rumah. Namun mereka ditinggalkan tak lama kira-kira dua jam sahaja sebelum isteri pulang,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Khairuddin Atan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.47 petang sebelum sepasukan 22 pegawai dan anggota bersama dua jentera tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Kedua-dua kanak-kanak perempuan itu berada di luar rumah di bawah jagaan jiran ketika kami sampai. Berikutan itu anggota bomba memulakan usaha mengawal api daripada merebak ke kediaman bersebelahan sebelum api dipadamkan 30 minit kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 5:50 AM