RUANG rumah mereka yang sempit dan bahagian atas yang sudah reput dimakan anai-anai tidak menghalang empat beranak itu tinggal di rumah berkenaan di Kampung Matang Kong, Air Hitam, di sini. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Zuliaty Zulkiffli

DEMI membantu keluarga yang dihimpit kemiskinan, dua remaja berusaha mencari wang saku sendiri hasil menjual ikan kering selain melakukan kerja kampung bagi menampung kehidupan dan membayar yuran sekolah.

Setiap hari selepas pulang dari sekolah, Mohd Firdaus Rosli, 15, akan keluar menangkap ikan puyu atau sepat di parit berhampiran rumah mereka di Kampung Matang Kong, Air Hitam, Jitra, manakala adiknya, Siti Aisyah, 13, pula membantu ibu mereka, Norazizah Md Akhir, 50, menyiang ikan untuk dikeringkan.

Mohd Firdaus Rosli, 15, (kanan) dan adiknya, Siti Aisyah (kiri) bersama ibu mereka, Norazizah Md Akhir, 50, mengeringkan ikan puyu untuk dijual bagi menampung kehidupan mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Mohd Firdaus Rosli, 15, (kanan) dan adiknya, Siti Aisyah (kiri) bersama ibu mereka, Norazizah Md Akhir, 50, mengeringkan ikan puyu untuk dijual bagi menampung kehidupan mereka. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Menurut Norazizah, ikan kering itu dijemur dan dijual kepada penduduk kampung, manakala sebahagian lagi dimasak untuk makan seharian.

Katanya, suaminya, Rosli Johari, 55, hanya mengambil upah mengusahakan sawah mengikut musim dengan pendapatan tidak seberapa manakala dua anaknya, Norhayati Abd Halim, 20, dan Noraini, 23, hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya pula tinggal berasingan dan hanya bekerja sambilan saja.

"Saya tak nak susahkan mereka kerana masing-masing ada haluan sendiri dan seorang daripadanya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

"Disebabkan itu, saya tidak menghalang apabila Mohd Firdaus hendak menangkap ikan, walaupun dia sepatutnya menumpukan pada pelajaran kerana bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini.

"Setiap hari saya hanya mampu menyediakan nasi goreng dan memasak ikan kering atau pekasam yang dibuat sendiri," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Norazizah berkata, dia bersyukur kerana pihak sekolah anaknya iaitu Sekolah Menengah Indera Putra, di sini dan rakan anaknya sanggup memberi sumbangan pakaian sekolah supaya mereka boleh bersekolah seperti pelajar lain.

Empat beranak yang tinggal di rumah yang sudah uzur di Kampung Matang Kong, Air Hitam terpaksa makan di ruang yang dijadikan tempat tidur mereka setiap hari. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Empat beranak yang tinggal di rumah yang sudah uzur di Kampung Matang Kong, Air Hitam terpaksa makan di ruang yang dijadikan tempat tidur mereka setiap hari. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Tinjauan Harian Metro ke rumah mereka mendapati, rumah usang itu sudah hampir reput dimakan anai-anai terutamanya di tingkat atas manakala ruang dapur yang sempit itulah tempat dijadikan ruang tidur dan tempat makan mereka empat beranak setiap hari.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Matang Kong, Shahidan Othman berkata, setakat ini beliau sudah berusaha untuk mendapatkan bantuan membaiki rumah keluarga itu dan hanya menunggu jawapan dari pihak yang berkaitan.

Beliau berkata, sebelum ini bapa Norazizah sudah menerima bantuan membaiki rumah sejak lima tahun lalu dan rumah itu hanya terletak di hadapan rumah Norazizah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 6:39 PM