REMAJA lelaki yang ditahan selepas didapati menunggang basikal lajak secara berbahaya di kawasan perumahan Persiaran Meranti Sri Damansara 13 berhampiran jambatan NKVE, Petaling Jaya, kelmarin.
REMAJA lelaki yang ditahan selepas didapati menunggang basikal lajak secara berbahaya di kawasan perumahan Persiaran Meranti Sri Damansara 13 berhampiran jambatan NKVE, Petaling Jaya, kelmarin.
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Tunggang laju mencecah 40 kilometer sejam. Itu antara aksi berani mati sekumpulan remaja yang menunggang basikal lajak melalui Persiaran Meranti Sri Damansara 13 di sini.

Tindakan empat remaja lelaki bagaimanapun membawa padah apabila mereka ditahan polis berhampiran jambatan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kumpulan remaja itu dikatakan menunggang basikal lajak secara berbahaya di jalan berkenaan sebelum orang awam membuat aduan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, pihaknya segera menjalankan operasi di kawasan itu sejurus menerima laporan.

GELAGAT remaja yang menunggang basikal lajak secara berbahaya.
GELAGAT remaja yang menunggang basikal lajak secara berbahaya.

“Hasilnya kami menahan empat remaja lelaki berusia antara 14 hingga 15 tahun bersama basikal lajak masing-masing.

“Semua remaja itu masih bersekolah di sekolah menengah kebangsaan di Kepong, Kuala Lumpur,” katanya.

Mohd Zani berkata, empat basikal lajak milik remaja dirampas dalam operasi itu.

“Semua mereka bagaimanapun dibebaskan sebaik selesai memberi keterangan. Malah penjaga dan ibu bapa mereka dipanggil untuk disoal siasat.

“Tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap remaja itu mengikut Peraturan 42 (1) (B) LN166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 4:26 AM