Hafiz Ithnin

Fenomena aksi basikal lajak sejak kebelakangan ini menjadi isu penting dibincangkan ramai pihak apabila ia membabitkan soal keselamatan dalam kalangan kanak-kanak yang melakukan aktiviti itu di jalan raya hingga menyebabkan kemalangan jiwa.

Sebenarnya aktiviti menunggang basikal lajak bukan sesuatu yang salah tetapi lokasi dipilih penunggang mestilah bersesuaian dan selamat untuk digunakan. Apatah lagi ia satu kegiatan yang mampu memupuk minat golongan muda untuk diasah menjadi atlet negara pada masa depan.

Menyedari hal ini, Kelab KDOJ BMX Johor mengambil langkah untuk menarik penyertaan golongan remaja yang berminat dalam aktiviti berbasikal terutama yang bermain basikal lajak untuk menceburkan diri dalam aktiviti menunggang basikal BMX.

LATIHAN secara komprehensif penting untuk meningkatkan prestasi.
LATIHAN secara komprehensif penting untuk meningkatkan prestasi.

Sejak ditubuhkan pada 2017, kelab itu sudah mempunyai 18 penunggang yang bersedia menyertai perlumbaan bagi kategori usia antara tujuh hingga 17 tahun dan ada antara mereka pernah menjadi penunggang lajak sebelum ini.

Jurulatih kelab itu, Mohd Muzaini Musa berkata, ahli kelabnya sering menyertai pelbagai kejohanan perlumbaan basikal termasuk BMX yang bukan saja di Malaysia malah di luar negara seperti di Thailand dan Indonesia.

Beliau berkata, latihan yang diadakan secara komprehensif dalam kalangan remaja yang menyertai kelab berkenaan ketika ini sudah membuahkan hasil apabila ada dua ahlinya bakal mewakili Johor dalam Sukma 2018 untuk acara berbasikal.

MENGGILAP bakat muda untuk mewakili Johor ke peringkat nasional.
MENGGILAP bakat muda untuk mewakili Johor ke peringkat nasional.

“Ada dua atau tiga orang ahli kami dahulunya pemain basikal lajak dan apabila diajak menyertai latihan secara komprehensif untuk menyertai kejohanan perlumbaan dalam BMX, mereka menunjukkan minat untuk menyertainya.

“Setakat ini, dalam kejohanan perlumbaan BMX, mereka menunjukkan prestasi yang baik kerana sentiasa tersenarai dalam kedudukan ketiga teratas dan ia satu pencapaian boleh dibanggakan,” katanya yang juga jurulatih Persatuan Berbasikal Negeri Johor.

Muzaini berkata, kebiasaannya kelab berkenaan membuat latihan di sekitar Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru dan dalam sebulan sebanyak dua kali akan ke Velodrom Nasional di Nilai untuk melihat sejauh mana kemampuan bakat ahli yang menyertai kelab ini beraksi di gelanggang sebenar.

KDOJ BMX Johor terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
KDOJ BMX Johor terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

“Jika mereka mempunyai prestasi baik dan berpotensi menjadi atlet negeri, saya akan mencadangkan nama mereka untuk terus menggilap bakat yang ada bagi mewakili Johor dalam pelbagai kejohanan di peringkat nasional.

“Sebagai jurulatih di dalam kelab ini, saya bukan saja ingin menggalakkan golongan muda khasnya menyertai aktiviti berbasikal secara profesional, malah mencari bakat baru untuk mewakili negeri dalam kejohanan yang lebih besar,” katanya.

Tambahnya, memandangkan Johor bakal menjadi tuan rumah Sukma 2020, menjadi keperluan untuk pihaknya terus memburu bakat tempatan yang berpotensi bagi mewakili negeri dan sedia untuk beraksi dalam kejohanan lebih besar pada masa depan.

“Sekiranya ada pemain basikal tempatan tidak kira mereka bermain dalam lajak atau BMX, mereka sangat dialu-alukan untuk menyertai kami sebagai salah satu platform bagi menjadi penunggang basikal profesional,” katanya.

MERANGKUL pelbagai kemenangan dalam kejohanan mampu mengangkat nama kelab.
MERANGKUL pelbagai kemenangan dalam kejohanan mampu mengangkat nama kelab.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 1:19 PM