Khairul Najib Asarulah Khan


BERBARING sambil menunggang basikal lajak. Itulah aksi berani segelintir remaja apabila dikesan menunggang basikal tanpa brek berkenaan.

Tinjauan Harian Metro di Taman Tasik Ampang Hilir di sini, kelmarin mendapati lokasi itu dijadikan port untuk kumpulan remaja terbabit berkumpul sebelum masing-masing menunjukkan kehebatan.

Berdasarkan pemerhatian, ada lebih 30 basikal lajak transit di kawasan itu termasuk yang ditunggangi gadis yang semuanya berusia antara 10 dan 15 tahun.

Seorang remaja lelaki dikenali sebagai Azri, 12, berkata lokasi itu menjadi tempat untuk dia dan rakan-rakannya berkumpul setiap hujung minggu atau cuti umum.

Katanya, mereka mempunyai kumpulan WhatsApp basikal lajak di mana setiap kali berkumpul pasti ramai.

“Ada yang dari Ampang, Rawang, Bangsar, Petaling Jaya, Klang dan beberapa lokasi lagi. Setiap kali kami berkumpul pasti akan berkongsi skil selain berlumba.

REMAJA berkumpul di Taman Tasik Ampang Hilir pada hujung minggu pamer ‘skil’ masing-masing. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
REMAJA berkumpul di Taman Tasik Ampang Hilir pada hujung minggu pamer ‘skil’ masing-masing. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan

“Namun, tiada sebarang hadiah taruhan ia sekadar untuk seronok,” katanya yang memiliki basikal lajak sejak dua tahun lalu.

Rakannya yang ingin dikenali sebagai Mat berkata, perjumpaan mereka pernah terpaksa dibatalkan pada saat akhir disebabkan ada maklumat polis akan menjalankan operasi.

“Ada rakan akan memaklumkan dalam kumpulan WhatsApp untuk kami berpecah atau batalkan perjumpaan kerana polis akan merampas basikal lajak ini.

“Kami juga akan bercuti selama beberapa minggu dan selepas keadaan kembali reda baru akan rancang perjumpaan seterusnya,” katanya.

Berkongsi mengenai kos pembikinan basikal terbabit, seorang remaja yang ingin dikenali sebagai Aidil pula berkata, pada mulanya dia membeli basikal daripada saudaranya pada harga RM100.

“Saya kumpul duit belanja sebanyak RM5 setiap hari sebelum berjaya ubah suai basikal ini menjadi basikal lajak.

“Bagi menjadikan basikal lajak, ia perlu diubah suai 100 peratus dengan memotong rangka basikal untuk menjadikan ia lebih rendah sebelum melakukan kimpalan dan menukar beberapa komponen seperti sprocket, rantai, tayar dan lain-lain.

“Saya terpaksa berbelanja sebanyak RM700 untuk buat basikal ini. Walaupun susah mengumpul wang, namun ia memberi kepuasan,” katanya.

Rakannya, Epol pula berkata, setiap kali ketika ingin berlumba, dia akan membawa sebotol minyak khas untuk diletakkan pada sprocket dan rantai bagi meningkatkan kelajuan basikal.

“Minyak itu saya cipta sendiri selepas lihat perkongsian geng basikal lajak dari Johor. Saya mencampurkan minyak hitam, petrol dan minyak tanah.

“Memang ada perubahan dari segi kelajuan selepas letak minyak ini,” katanya yang mengakui menunggang basikal itu adalah berbahaya.

LEBIH 30 basikal lajak transit di Taman Tasik Ampang Hilir pada hujung minggu. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
LEBIH 30 basikal lajak transit di Taman Tasik Ampang Hilir pada hujung minggu. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan

Ibu bapa bertanggungjawab jika anak ditahan

Polis boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap ibu bapa jika anak mereka ditahan kerana menunggang basikal lajak di jalan raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, perbuatan menunggang basikal itu di jalan raya menjadi satu kesalahan.

“Ini kerana perbuatan itu bukan saja memberi risiko kepada penunggangnya, malah kepada pengguna jalan raya lain.

“Saiz basikal itu yang kecil serta tiada brek sukar dilihat dan dikawal. Ini boleh mengundang kemalangan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Menurutnya, ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang basikal lajak di jalan raya boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001.

“Selain itu, polis juga boleh menyita basikal lajak mengikut Peraturan 42 (1)(a) Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959.

“Kita harap ibu bapa peka dengan keadaan sekeliling dan sentiasa menegur anak-anak yang menunggang basikal lajak,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat lokasi yang dijadikan geng basikal lajak beraksi boleh menghubungi balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Sepanjang tahun ini, polis menyita tujuh basikal lajak yang digunakan kanak-kanak untuk berlumba di Lebuhraya Baru Pantai (NPE) pada bulan lalu,” katanya.

MUHAMMAD Nazmi menempuh detik cemas apabila hampir melanggar penunggang basikal lajak yang keluar secara tiba-tiba dari simpang. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
MUHAMMAD Nazmi menempuh detik cemas apabila hampir melanggar penunggang basikal lajak yang keluar secara tiba-tiba dari simpang. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan

Detik cemas hampir nahas

Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap penunggang basikal lajak disebabkan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Pekerja swasta, Muhammad Nazmi Wasdifarizal, 22, berkata dia pernah menempuh detik cemas apabila hampir melanggar penunggang basikal itu yang keluar secara tiba-tiba dari simpang pada Ahad lalu. Menurutnya, ketika itu dia bersama isteri dan ibunya yang menaiki kereta dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Desa Pandan, di sini.

“Ketika melalui jalan berdekatan rumah, sekumpulan geng basikal lajak terus keluar dari simpang menyebabkan saya menekan brek secara mengejut.

“Mujur kepala isteri tidak terhentak pada cermin. Jika saya memandu laju ketika itu pasti sudah merempuh mereka.

“Saya harap ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing yang mempunyai basikal berkenaan selain pihak berkuasa turut mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Peniaga, Rozaimi Halim, 32, berkata dia pernah terserempak dengan kumpulan geng basikal lajak yang menunggang basikal seperti gaya Superman.

“Lebih merisaukan, mereka menunggang di tengah-tengah jalan yang sibuk termasuk mencelah antara kenderaan.

“Saya khuatir keberanian tidak bertempat itu akan berakhir dengan kematian. Janganlah apabila berlaku kejadian buruk barulah tindakan hendak diambil,” katanya.

Terdahulu, aksi berani mati sekumpulan remaja menunggang basikal lajak tular di laman sosial menerusi video 15 saat hingga mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk mengecam perbuatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 6:00 AM