KHAIRY  (tengah) bersama peserta  program bootcamp pada Majlis Pelancaran Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua@Rapid Bus.
KHAIRY (tengah) bersama peserta program bootcamp pada Majlis Pelancaran Kampus Satelit IKTBN Dusun Tua@Rapid Bus.
Siti Salmiah A Hamid

Cheras: Selari dengan keperluan industri dalam bidang teknikal dan vokasional, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB) menjalankan transformasi TVET bagi menghadapi cabaran baru Revolusi Industri 4.00.

Sejajar itu, seramai 25 pelatih dari Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua berpeluang sebagai perintis kursus penyelenggaraan bas elektrik seliaan Rapid Bus di bawah Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerjasama itu dilaksanakan menerusi konsep bootcamp yang berlangsung selama 10 bulan.

“Program baru ini perlu untuk menambah pekerja mahir dalam bidang penyelenggaraan bas elektrik yang akan meningkat sejajar dengan sasaran Prasarana untuk menambah lebih 200 bas elektrik dalam masa terdekat.

“Ketika ini, bas elektrik dikendalikan dalam laluan BRT tetapi sudah pun bermula secara berperingkat digunakan di laluan biasa dan akan meningkat dalam tempoh terdekat justeru, keperluan kepada pekerja mahir seperti mekanik bas elektrik adalah sangat tinggi,” katanya pada Perasmian Kampus Satelit Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua @ Rapid Bus sebagai perintis bagi Kursus Penyelenggaraan Bas Elektrik, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Masnizam Hisham, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Mohd Azam Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia KBS Dr Wasitah Mohd Yusof.

Hasil kerjasama strategik itu membolehkan pelatih menerima Sijil Kemahiran Malaysia Bidang Penyelenggaraan Bas Elektrik Tahap 3.

Rapid Bus turut bersetuju menanggung kos sebanyak 30 peratus daripada jumlah kos latihan yang akan dilaksanakan selama tiga bulan di IKTBN Dusun Tua dan tujuh bulan di Rapid Bus.

Program bootcamp KBS turut menerima peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun ini melalui geran padanan berbanding RM1.147 juta tahun lalu.

Menurut Khairy, KBS menerusi Institut Latihan KBS (ILKBS) menyasarkan 648 belia mengikuti latihan di bawah program bootcamp 2018 dalam bidang antaranya kapten bas, terapi sukan, mekanik industri, penyaman udara dan automotif.

“Konsep bootcamp berbeza dengan kursus lain yang dijalankan di ILKBS kerana menawarkan tempoh latihan yang lebih singkat, fokus pada satu bidang dan pelatih mempunyai jaminan pekerjaan selepas tamat kursus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 4:04 AM