TTA adalah akademi pertama di dunia yang mengajar pelatih kemahiran pembinaan terowong menggunakan TBM.
TTA adalah akademi pertama di dunia yang mengajar pelatih kemahiran pembinaan terowong menggunakan TBM.
SELEPAS tamat kursus di TTA, pelatih boleh bekerja sebagai pembantu pengendali TBM, pekerja terowong, pengendali pemasang, juruelektrik dan pembantu mekanik.
SELEPAS tamat kursus di TTA, pelatih boleh bekerja sebagai pembantu pengendali TBM, pekerja terowong, pengendali pemasang, juruelektrik dan pembantu mekanik.
MOHAMAD Azlan
MOHAMAD Azlan
MUHAMMAD Syabil
MUHAMMAD Syabil
Hamizah Badiran


Ramai anak muda hari ini memilih bekerja di pejabat kerana lebih selesa dengan persekitaran berhawa dingin dan berpakaian kemas, tetapi bagi Mohamad Azlan Ramli, 26, dia menceburi bidang pembinaan yang lebih mencabar.

Tuah bersemangat cekal dan tidak mengenal erti putus asa, anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu diterima ke MMC-Gamuda sebagai pembantu mekanik di bawah projek Mass Rapid Transit (MRT).

Kini, pendapatannya hampir tiga kali ganda berbanding pekerjaan dulu.

Menurut anak bongsu daripada 14 adik-beradik itu, memang sukar mendapat pekerjaan tetap dalam industri pembinaan dengan kemahiran tertentu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebelum ini, Azlan bekerja sebagai pengimpal struktur lombong bijih timah dan operator di kilang memproses sabun dengan pendapatan RM650 sebulan.

Nasibnya berubah selepas menerima tawaran menyambung pengajian Diploma Teknologi Mekanikal (Kimpalan) di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di Pagoh, Johor.

Ketika terbabit dengan Hari Kerjaya tahunan IKTBN khas untuk pelajar tahun akhir diploma, Azlan menghadiri temu duga terbuka MMC-Gamuda, sekali gus membuat pengenalan mengenai Akademi Latihan Terowong atau Tunneling Training Academy (TTA).

Dia berjaya dalam sesi temu duga itu dan diterima masuk ke TTA.

“Gamuda begitu sinonim dengan projek MRT dan saya mengetahui melalui abang.

“Dia tahu saya amat meminati pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknikal atau mekanikal, lalu abang mendorong saya mencuba latihan di TTA,” katanya.

Azlan antara pelajar lepasan SPM yang bertuah kerana merubah kehidupan menjadi lebih baik selepas masuk ke TTA.

Muhammad Syabil Sahlan, 23, yang juga mengikuti latihan di TTA menganggap pengalaman belajar di situ sesuatu yang luar biasa.

Anak jati Cameron Highlands, Pahang itu berkata, latihannya membabitkan aplikasi teknologi bertaraf dunia.

“Kali pertama mendengar mesin pengorek terowong, saya bimbang sama ada boleh bekerja dalam persekitaran yang begitu mencabar sedangkan tiada pengalaman dalam industri pembinaan.

“Bagaimanapun, latihan di TTA menjadikan saya lebih yakin untuk menempuh cabaran kerjaya,” katanya.

TTA adalah akademi pertama di dunia yang mengajar pelatih kemahiran pembinaan terowong menggunakan teknologi mesin pengorek terowong (TBM) seperti penukaran roda pemotong, penampal dua komponen, penghasilan busa, simulasi binaan gelung, aplikasi elektro-mekanikal, aplikasi terowong elektrik dan aplikasi shotcrete.

Modul latihan di TTA terbahagi kepada dua kategori utama iaitu latihan kemahiran selama 12 minggu dan latihan pakar sehingga 16 minggu.

Berikutan kemasukan kumpulan pertama pelajar TTA pada Disember 2011, seramai 1,000 pelajar dilatih untuk projek MRT Laluan 1 (Sungai Buloh-Kajang), manakala bagi projek MRT Laluan 2 (Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya), lebih 900 lagi pelajar akan dilatih menjelang akhir tahun 2017.

Jarak penuh Laluan 2 adalah 52.2 kilometer (km) dan 13.5 km adalah laluan bawah tanah (melalui terowong).

Keseluruhannya ada 36 stesen, 11 daripada itu dibina di bawah tanah. Projek berkenaan dijangka siap pada 2022.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gamuda Engineering Datuk Ubull Din Om berkata, TTA bertujuan melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi, juruteknik dan pekerja mahir lain bagi menyokong projek infrastruktur nasional.

Katanya, TTA bukan saja membentuk remaja menjadi pekerja mahir, malah meningkatkan prospek kerjaya berpendapatan tinggi.

“Sebelum menyertai TTA, ada pelatih memperoleh RM900 sebulan, kini pendapatan mereka meningkat dengan gaji permulaan antara RM1,200 bagi pekerja terowong sehingga RM2,500 bagi kerja-kerja elektrikal dan mekanikal,” katanya.

Bagi memastikan projek MRT siap tepat pada masa dengan kos yang ditetapkan, MMC-Gamuda menubuhkan Kilang Pembaikpulihan TBM di Pusing, Perak. Di situlah mesin TBM yang sudah digunakan untuk Laluan 1 dihantar untuk baik puilh dan dinaik taraf untuk digunakan untuk Laluan 2.

Kerja-kerja itu dijalankan oleh belia tempatan yang dilatih di TTA.

“Kilang Pembaikpulihan TBM bukan saja menjadi pusat peningkatan kemahiran pelatih TTA, malah menjimatkan kos dan masa dalam pembinaan menggunakan mesin berkenaan.

“Sebelum ini, kami kerap berurusan dengan pihak Jerman untuk kerja baik pulih TBM dan kosnya sangat tinggi kerana ia bergantung pada kadar mata wang asing.

“Kini, kami memastikan pemindahan teknologi dengan membawa pakar dari syarikat yang menghasilkan TBM, Herrenknecht AG untuk melatih kakitangan anak tempatan di Kilang Pembaikpulihan TBM di Pusing, berhampiran Ipoh,” katanya.

Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Dr Wasitah Mohd Yusof berkata, pihaknya berbangga melihat dan mendengar kisah kejayaan pelajar yang menyertai TTA.

Katanya, ia adalah hasil kerjasama antara KBS dan Gamuda bermula 6 Ogos 2015 bagi membolehkan pelajar IKTBN Bachok, Kelantan dan Chembong, Negeri Sembilan, disediakan dengan pengalaman latihan industri dalam bidang pembinaan serta kejuruteraan awam.

Melalui kerjasama itu, kursus Penyeliaan Awam dan Struktur (SKM3) dan kursus Juruperancah (JKKP - Tahap Pertengahan) di IKTBN berkenaan mula dilaksanakan secara sandwich atau berapit, iaitu pelajar melalui latihan praktikal dan amali secara bergilir dalam kampus serta di lapangan secara on-the-job training.

“Dengan pindaan sistem latihan ini, pelajar dipersiapkan dengan kemahiran sebenar, di samping bersedia secara fizikal dan mental dalam industri pembinaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 5:54 AM