KHAIRY (dua dari kiri) bersalaman dengan Izzaddin selepas majlis menandatangani MoU, semalam.
KHAIRY (dua dari kiri) bersalaman dengan Izzaddin selepas majlis menandatangani MoU, semalam.

Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus komited melaksanakan usaha meningkatkan kebolehpasaran pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menerusi kerjasama dan persefahaman erat dengan pihak industri dalam melaksanakan Program Transformasi IKBN.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, menerusi kerjasama erat itu, pelatih IKBN dapat mengikuti latihan yang bertepatan dengan kehendak pasaran.

Berikutan itu, katanya, satu lagi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani bersama pihak industri iaitu UEM Group Berhad (UEM Group), Nilai Spring Resort Sdn Bhd (NSRH) dan Nilai Springs Berhad berlangsung di KBS di sini.

“Kerjasama dengan UEM Group adalah bagi membolehkan pelaksanaan Program Penyaluran Tenaga Kerja IKBN-UEM dalam bidang penyelenggaraan bangunan, teknologi elektrik dan teknologi binaan bangunan.

“Bagi pihak NSRH dan Nilai Springs Berhad adalah pelaksanaan Program IKBN-NSRH ‘Bootcamps’ iaitu bidang makanan dan minuman (F&B) serta Program IKBN-Nilai Springs Golf and Country Club Bootcamps iaitu bagi bidang kedi (golf),” katanya pada sidang media majlis menandatangani MoU antara KBS dan pihak industri di sini, semalam.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha KBS Datuk Jamil Salleh dan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran KBS Zainuddin Yahaya.

Sementara UEM Group diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM Group Datuk Izzaddin Idris dan Ketua Modal Insan Kumpulan UEM Group Norlida Azmi; NSRH diwakili Pengurus Besarnya, How Guan Kok dan Pengurus Sumber Manusia Nilai Springs Resort Sdn Bhd dan Nilai Springs Berhad Suhaila Mohd Adnan manakala, Nilai Springs Berhad diwakili Pengurus Kelabnya iaitu Zainal Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:41 AM