Kemalangan mengorbankan seorang lelaki di  Kilometer 145, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Maran kira-kira 1 tengah hari, hari ini. FOTO ihsan bomba
Kemalangan mengorbankan seorang lelaki di Kilometer 145, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Maran kira-kira 1 tengah hari, hari ini. FOTO ihsan bomba
Shahrul Nizam Mohamad


LELAKI, 51, maut selepas tercampak dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dinaikinya dalam kemalangan di Kilometer 145, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Maran kira-kira 1 tengah hari, hari ini.

Difahamkan dalam kejadian itu mangsa yang duduk di bahagian depan sebelah penumpang tercampak beberapa meter dari lokasi kejadian selepas MPV dipandu isterinya hilang kawalan sebelum terbalik.

Mangsa yang dikenali sebagai Mustapa Abd Aziz disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya Juria Japri, 48, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS).

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati suami isteri itu dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan dari Kuala Lumpur sebelum MPV dinaiki mereka terbabas.

“Siasatan mendapati, kejadian itu berlaku di laluan berselekoh dan ketika kejadian keadaan jalan basah disebabkan hujan,”€ katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2018 @ 5:53 PM