DUA beradik, Afif Iman dan adiknya, Safiy Daniel maut  selepas MPV dinaiki terbabas di Kilometer 143.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
DUA beradik, Afif Iman dan adiknya, Safiy Daniel maut selepas MPV dinaiki terbabas di Kilometer 143.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Shahrul Nizam Mohamad


Maran: Hajat dua beradik untuk menyertai keluarga menunaikan umrah tidak kesampaian apabila mereka terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova yang dinaiki terbabas melanggar sebatang pokok di Kilometer 143.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), kira-kira tiga kilometer susur masuk ke Plaza Tol Chenor, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1.25 tengah hari, mangsa, Afif Iman Hasmady, 16, terbunuh di tempat kejadian, manakala adiknya, Safiy Daniel, 13, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.

Kembar kepada Afif iaitu Abid Iman, 16, dan adik bongsunya, Muhammad Zulfar, 2, masing-masing cedera parah di kepala dan luka di muka.

Pemandu MPV itu yang juga bapa mangsa, Hasmady Che Mat, 44, berasal dari Kampung Baung, Jalan Pengkalan Chepa, Kelantan, cedera di kepala, luka di tangan kiri dan muka manakala isterinya, Mahani Muhammad, 43, yang luka di muka dan badan masih mendapatkan rawatan di hospital sama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Nor Yusof Ali berkata, ketika kejadian semua mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kota Bharu, Kelantan.

“Siasatan awal mendapati, ketika tiba di tempat kejadian, MPV dipandu Hasmady hilang kawalan selepas tayar kiri belakang meletup lalu terbabas melanggar sebatang pokok,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 7:07 AM