WARGA asing yang ditahan. FOTO ihsan PPM
WARGA asing yang ditahan. FOTO ihsan PPM
Izlaily Nurul Ain Hussein


PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di Pulau Hijau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, antara 11.15 malam hingga 1.30 pagi tadi.

Mereka ditahan dalam lima serbuan di dua lokasi berasingan iaitu di kawasan hutan dan pantai.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 17 lelaki dan tujuh wanita warga negara itu yang berusia antara 21 hingga 48 tahun.

"Ketika anggota PPM Pengerang menjalankan Op Pensura dan Op Landai, mereka membuat serbuan berasingan di lokasi berkenaan dan mengesan sekumpulan manusia yang dipercayai warga Indonesia dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati semuanya melakukan kesalahan mengikut Akta Immigresen 1959/63(pindaan 2002) kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal di Malaysia melebihi masa ditetapkan dan cuba untuk keluar atau masuk negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan," katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, sudah seminggu PATI terbabit bersembunyi dalam hutan berkenaan, memandangkan tidak dapat meneruskan perjalanan ke negara asal mereka akibat cuaca buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 10:46 AM