Sebahagian jemaah keluar daripada Masjid Jamek Mukim Temai selepas menunaikan solat Zohor yang menggantikan solat Jumaat kerana kekurangan 40 orang yang bermastautin seperti diwajibkan berikutan sebahagian laluan ke masjid itu terputus akibat dinaiki air. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Mohd Fauzi Abdullah

SOLAT Jumaat di Masjid Jamek Mukim Temai, Pekan, hari ini digantikan dengan solat Zohor kerana kekurangan jemaah berikutan jalan ke masjid itu terputus hubungan akibat dinaiki air.

Imam 2 Masjid Jamek Mukim Temai Abdul Hamid Majid, 66, berkata, dia bersama ahli jawatankuasa membuat keputusan itu selepas mendapati jemaah hanya seramai 38 orang termasuk bukan bermastautin di sini.

Katanya, ada penduduk kampung tidak dapat keluar ke jalan utama yang menghubungkan dengan masjid itu akibat ditenggelami banjir sejak tiga hari lalu.

"Ia menyebabkan kita kekurangan jemaah yang diwajibkan mendirikan solat Jumaat iaitu sekurang-kurangnya 40 orang bermastautin di kawasan ini.

"Orang kampung tidak dapat datang ke masjid kerana ada jalan ke sini terputus, ada juga yang sudah berpindah ke kawasan selamat selepas rumah dinaiki air ditambah pula hujan ketika hendak datang ke masjid tadi," katanya ketika ditemui.

Katanya, perkara itu pernah berlaku di masjid berkenaan ketika musim banjir sebelumnya dan ia dibolehkan mengikut hukum.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 5:32 PM