Isa dipanggil ke Bukit Aman hari ini. FOTO arkib NSTP
Isa dipanggil ke Bukit Aman hari ini. FOTO arkib NSTP
Mohd Husni Mohd Noor


BEKAS Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir memberi keterangan di Bukit Aman pada 10 pagi ini berhubung isu pertukaran hak milik tanah FELDA di Jalan Semarak di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung isu sama.

"Kita sudah panggil dia (Mohd Isa) dan saya rasa keterangan sudah selesai diambil.

"Ada beberapa individu lain yang kita percaya ada kaitan dengan kes itu akan turut dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan. Tapi tidak perlulah saya dedahkan siapa identiti mereka," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Perancangan Strategik Kementerian Dalam Negeri 2018 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.

Katanya, sebelum ini, beberapa individu lain sudah diambil keterangan berhubung kes sama.

Berita Harian sebelum ini melaporkan FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat transaksi pindah milik tanah yang didakwa mencurigakan itu termasuk tidak menolak kemungkinan memanggil Mohd Isa bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

Peneroka minta siasat isu tanah FELDA

"Mana ada saya lari"

Isa Samad elak bertemu wartawan

'RM200 juta tuu...bukannya sikit!'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 4:09 PM