Bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ketika  Kempen Tabung Hari Pahlawan 2017 Peringkat Parlimen Teluk Kemang di Port Dickson, malam tadi. - Foto HAZREEN MOHAMAD
Bekas Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ketika Kempen Tabung Hari Pahlawan 2017 Peringkat Parlimen Teluk Kemang di Port Dickson, malam tadi. - Foto HAZREEN MOHAMAD
Mohd Khidir Zakaria


TAN Sri Isa Samad menegaskan beliau tidak lari dan sedia memberi kerjasama kepada polis jika dipanggil memberi keterangan berhubung isu tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata, setakat ini polis masih belum menghubunginya untuk mendapatkan sebarang kenyataan.

“Setakat ini, polis belum panggil saya, biar mereka jalankan siasatan. Jika polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) panggil, saya sedia beri kerjasama.

“Saya tidak mahu komen lebih kerana tidak mahu isu ini dijadikan polemik politik,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kempen Tabung Hari Pahlawan 2017 Peringkat Parlimen Teluk Kemang di Batu 4, Port Dickson, malam tadi.

Dalam ucapannya Isa menjelaskan, beliau tidak melarikan diri daripada pihak media susulan isu berkenaan.

“Ramai cakap saya lari, mana ada saya lari. Saya ada banyak program di sini, Jempol dan Seremban,” katanya.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad membuat laporan polis mengenai isu itu pada 12 Disember lalu.

Shahrir dilapor berkata, pihaknya bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak tanah yang dianggar bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, susulan urusan pindah milik tanah berkenaan yang meragukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 1:22 AM