MOHD Nasir (kanan) membuat laporan polis susulan kes kehilangan tanah FELDA di Balai Polis Bandar Seri Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
MOHD Nasir (kanan) membuat laporan polis susulan kes kehilangan tanah FELDA di Balai Polis Bandar Seri Jempol. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


SATU laporan polis dibuat wakil peneroka FELDA Raja Alias 3, Jempol, mendesak siasatan terperinci dibuat bagi mengenal pasti dalang sebenar yang menyebabkan FELDA kehilangan hak milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Mohd Nasir Abdul Rahman, 57, bersama lapan peneroka dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin politik lain hadir membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol, kira-kira 10 pagi, hari ini.

Menurutnya, laporan dibuat bertujuan meminta polis menjalankan siasatan terperinci dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

"Kita menyerahkan kes ini sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan adil dan telus. Kes ini membabitkan kepentingan peneroka di seluruh negara.

"Kita juga mengharapkan peneroka setiap tanah rancangan FELDA berdiri teguh menyokong usaha Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengembalikan semula tanah berkenaan kepada FELDA," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Nasir berkata, pihaknya tidak mahu menuduh sesiapa berkaitan kes itu termasuk bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad sebaliknya menyerahkan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim mengesahkan menerima laporan dan kes diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan.

Berita berkaitan:

‘Mana ada saya lari’

Shahrir 'terpegun' mudahnya FELDA hilang tanah

'RM200 juta tuu...bukannya sikit!'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 6:18 PM