Mohamad  menunjukkan cermin belakang kereta miliknya yang pecah akibat ditetak bekas rakan sekerja. FOTO Nur Syazwana Mansor
Mohamad menunjukkan cermin belakang kereta miliknya yang pecah akibat ditetak bekas rakan sekerja. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor


PEMANDU lori trauma selepas diserang bekas rakan sekerjanya yang dipercayai mengalami masalah mental di sebuah kedai berdekatan tempat kerjanya di Batu 17, Jalan Sedaka, Yan, semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, Mohamad Mohd Hussain, 48, diserang bekas kelindannya dengan sebilah parang.

Mohamad berkata, ketika ingin masuk ke Perodua Myvinya, tiba-tiba lelaki itu berada di hadapannya dengan sebilah parang.

Menurutnya, dia terpaksa melarikan diri selepas melihat bekas rakan sekerjanya itu mengangkat parang menyebabkan lelaki itu berang dan terus menetak cermin sehingga pecah selain menendang keretanya itu sehingga kemek.

"Saya yang bimbang dengan keselamatan diri tambahan dia semakin agresif menyebabkan saya terus menghubungi pihak polis meminta bantuan.

"Polis yang datang ke lokasi kejadian terus menahannya sebelum saya membuat laporan di Balai Polis Guar Chempedak untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang 3 , Sungai Limau Luar, Yan, hari ini.

Katanya, kejadian itu adalah kali keempat terjadi menyebabkan dia kini trauma dan bimbang dengan keselamatan diri.

“Kali pertama saya diserang Jun tahun lalu, apabila dia secara tiba-tiba membaling batu ke arah kereta saya dan kali kedua pada Ogos, dia datang ke rumah dengan membawa bata sebelum membaling ke cermin kereta belakang.

"Kali ketiga pada Oktober, apabila dia menunggang motosikal lalu merempuh motosikal saya menyebabkan berlaku pergaduhan kecil antara kami, bagaimanapun saya tidak cedera dan terbaru kejadian semalam," katanya.

Menurut Mohamad, dia merayu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas lelaki itu kerana dia boleh membahayakan orang ramai dan tidak sepatutnya dibebaskan dari hukuman atas alasan sakit mental.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan Deputi Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, suspek sudah ditahan pada hari kejadian sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani disebabkan suspek pernah dirawat sebagai pesakit mental.

"Setakat ini, pihak kami sedang menunggu hasil laporan psikiatri daripada pegawai perubatan bagi memastikan status kesihatan suspek.

"Kita akan teruskan siasatan sekiranya suspek dilaporkan waras," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 4:46 PM