Dr Ahmad Zahid bersama barisan anggota Parlimen lain bertafakur atas kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, ketika persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Dr Ahmad Zahid bersama barisan anggota Parlimen lain bertafakur atas kemangkatan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, ketika persidangan Dewan Rakyat, semalam.
Idris Musa


Kuala Lumpur: Syarikat kawalan keselamatan yang didapati mengambil pekerja warga asing tanpa dokumen sah, memiliki dokumen palsu atau mempunyai pembabitan dalam unsur jenayah akan dibatalkan lesen tanpa ada amaran akhir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tegas itu sebagai mengelak berlakunya penyusupan elemen keganasan ke dalam negara ini.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya bahagian keselamatan yang mengeluarkan permit syarikatkawalan keselamatan persendirian sememangnya telah mengetatkan prosedur pengambilan pengawal keselamatan ini.

“Pihak polis juga melakukan penapisan terhadap setiap pengawal keselamatan yang diambil bagi mengelakkan apa yang berlaku di Sabah untuk tidak berlaku di tempat-tempat lain,” katanya ketika sesi waktu pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) sama ada KDN mengkaji semula prosedur pengambilan pengawal keselamatan berikutan terdapat kes pengawal keselamatan disyaki anggota kumpulan Abu Sayyaf memohon kerja menggunakan pengenalan diri palsu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan telah mengarahkan semua agensi penguat kuasa terutama yang bersempadan dengan Filipina untuk meningkatkan tahap kawalan keselamatan.

Beliau berkata, ia berikutan tindakan agresif kerajaan Filipina dalam memerangi kumpulan pengganas secara besar-besaran telah meningkatkan risiko untuk anggota kumpulan pengganas menyusup masuk ke negara ini.

Selain itu, katanya, polis juga telah meningkatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pemilik laman web dan akaun media sosial yang terbabit dengan kegiatan penyebaran fahaman kumpulan Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:37 AM