Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan pembabitan kumpulan kongsi gelap dalam industri kawalan keselamatan di negara ini pada tahap rendah dan terkawal.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasil maklumat dan risikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini mendapati kegiatan kongsi gelap dalam syarikat keselamatan hanya berlaku di Selangor.

Katanya, sehubungan itu, rakyat tidak perlu bimbang kerana kementerian dan PDRM sudah mengambil tindakan tegas serta pantas bagi menangani masalah itu.

“Tidak ada tolak ansur kepada syarikat kawalan keselamatan yang dilesen KDN jika mereka terbabit kumpulan kongsi gelap.

“Tindakan amat tegas diambil termasuk membatal lesen operasi serta-merta,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai sejauh mana seriusnya pembabitan kongsi gelap dalam syarikat kawalan keselamatan di negara ini.

Ahmad Zahid berkata, dalam insiden pada 18 April lalu, 19 suspek disyaki terbabit kegiatan berkenaan ditangkap dengan tujuh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh manakala 12 lagi ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Menjawab soalan tambahan Noraini, beliau berkata, terdapat dua faktor bagaimana syarikat kawalan keselamatan boleh terbabit iaitu kemungkinan dibeli pemilik yang ada kaitan dengan kongsi gelap atau lesennya disewa kepada pihak kongsi gelap.

Katanya, bagi menambah baik persepsi terhadap kerjaya pengawal keselamatan, kementerian mengadakan kursus khas yang disertai 15,000 pegawai dan pengawal keselamatan seluruh negara.

“Kementerian melalui Bukit Aman juga mewajibkan kursus kepada pemilik syarikat keselamatan dan ahli lembaga pengarah bagi menangani isu ini.

“Setakat ini, 48 syarikat sudah dibatalkan lesen dan kementerian tidak takut untuk batalkan lebih banyak lagi jika mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Siti Zailah Muhd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) beliau berkata, industri kawalan keselamatan di negara ini cukup terkawal dengan jumlah syarikat kawalan dihadkan kepada 800 saja dan hanya warga Nepal dibenar digaji sebagai pengawal keselamatan asing.

Beliau berkata, 194,174 terbabit dalam industri ini dengan 150,000 adalah warga tempatan dan selebihnya iaitu 44 ,174 adalah pegawai dan pengawal keselamatan warga asing.

“Syarikat jangan hanya fikir keuntungan dan menggaji pekerja asing dengan bayaran gaji rendah.

“Mereka juga tertakluk kepada tapisan keselamatan, jika ada yang mempunyai rekod jenayah secara automatik lesen syarikat kawalan keselamatan dibatalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:34 AM