Basikal lajak yang disita dan Ashmon (gambar kecil).
Basikal lajak yang disita dan Ashmon (gambar kecil).
Izlaily Nurul Ain Hussein


POLIS Kota Tinggi menahan 10 remaja dan kanak-kanak serta mengeluarkan 10 saman selepas disyaki terbabit dalam aktiviti berbasikal lajak (basikal diubah suai) di Taman Kota Jaya 2, Kota Tinggi, Johor, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, dalam operasi dengan kekuatan tiga pegawai serta lima anggota yang dijalankan dari 5 petang hingga 7 malam itu, 10 basikal lajak turut disita.

Beliau berkata, dalam operasi itu, pihaknya memeriksa 22 basikal termasuk 10 yang didapati dikategorikan sebagai basikal lajak.

"Kita juga memeriksa 22 individu sebelum menahan 10 daripada mereka yang terdiri daripada tujuh murid sekolah rendah dan tiga pelajar sekolah menengah.

"Kita juga mengeluarkan 10 saman kerana 10 basikal itu dikesan tidak mempunyai brek atau loceng," katanya.

Menurut Ahsmon, 10 basikal lajak itu disita mengikut Seksyen 112 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, semua ibu bapa dan penjaga dipanggil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Tinggi untuk mengambil anak mereka dan diberikan sesi kaunseling.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 8:52 PM