Tempoh reman suspek dilanjutkan selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. FOTO/ Omar Ahamd
Tempoh reman suspek dilanjutkan selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. FOTO/ Omar Ahamd
Izlaily Nurul Ain Hussein

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru membenarkan tempoh tahanan reman seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan ahli kumpulan kongsi gelap di stesen minyak Taman Pelangi, Johor Bahru, 17 Disember lalu, disambung ke 4 Januari depan.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan sambungan tempoh reman selama tujuh hari itu selepas dimohon oleh pegawai penyiasat kes bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadap suspek.

Suspek berusia 22 tahun itu antara tujuh individu yang ditahan di Singapura pada 20 Disember lalu, sebelum mereka direman seminggu berakhir hari ini.

Bagaimanapun, enam yang lain serta seorang lagi suspek yang ditahan reman bersama-sama sehingga hari ini, dibebaskan.

Difahamkan, suspek yang disambung reman itu disyaki individu yang mempunyai maklumat mengenai suspek berikutan ada keterangan saksi menunjukkan dia bertemu dengan suspek utama kes pembunuhan itu sebelum kejadian.

Semalam, dua suspek berusia 19 dan 22 tahun yang ditahan bagi membantu siasatan sebelum ini disambung reman enam hari bermula hari ini hingga 2 Januari depan.

Manakala, empat lagi suspek yang ditahan reman bersama-sama mereka, dibebaskan.

Tangkapan ke-15 iaitu seorang lelaki masih ditahan reman hingga Sabtu ini.

Pada 17 Disember lalu, seorang lelaki maut diserang sekumpulan empat lelaki menaiki kereta BMW akibat ditikam sebelum dilanggar dan digilis, dalam kejadian 7.30 malam.

Susulan kejadian itu, Polis Johor menahan 15 suspek termasuk empat wanita berusia 16 hingga 26 tahun dalam beberapa siri tangkapan di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Singapura bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 12:00 PM