Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangka dapat menyiapkan kertas siasatan berhubung isu rasuah bola sepak dalam tempoh seminggu lagi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Azam Baki berkata, setakat ini masih terdapat seorang lagi pemain bola sepak ditahan reman, manakala yang lain sudah dibebaskan.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes itu sebelum diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Pegawai penyiasat SPRM sedang menyiapkan kertas siasatan seberapa segera dan masih ada seorang lagi dalam tahanan reman kita.

"Saya jangka minggu depan kertas siasatan dapat diserahkan kepada DPP untuk pertimbangkan sebarang pertuduhan.

"Jadi, saya harap kita dapat menyelesaikan siasatan dengan cepat dan keputusan siasatan saya jangka dalam masa seminggu lagi," katanya ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat bersama Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani dan Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 3:51 PM