Antara anak nelayan yang menyertai program gunting rambut percuma 'Semak Jetak Gi Sekolah' di Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Antara anak nelayan yang menyertai program gunting rambut percuma 'Semak Jetak Gi Sekolah' di Seberang Pintasan, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


SERAMAI 100 anak nelayan menyertai program gunting rambut 'Semak Jetak Gi Sekolah' di kawasan Seberang Pintasan, Dungun, hari ini.

Program anjuranPemuda UMNO Bahagian Dungun dengan kerjasama Yayasan Pendidikan & Kebajikan Dungun itu disertai murid dan pelajar berusia lima hingga 17 tahun.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Dungun, Mohamad Armi Hitam berkata, program yang berlangsung di Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Seberang Pintasan itu bermula jam 9 pagi dan berakhir kira-kira 6.30 petang tadi.

"Seramai lima tukang gunting terbabit dalam program ini dan kita berjaya menggunting 100 anak nelayan.

"Program ini julung kali kami laksanakan dan sedikit sebanyak dapat meringankan perbelanjaan keluarga murid serta pelajar terbabit yang berpendapatan rendah menjelang sesi baru persekolahan tidak lama lagi," katanya hari ini.

Nelayan, Abdul Rahman Yatim, 52, berkata dia mempunyai lima anak yang masih bersekolah dan amat bersyukur kerana dapat menjimatkan banyak wang berikutan empat anaknya menyertai program itu.

"Untuk satu kepala, paling kurang antara RM8 hingga RM10 juga kena keluar belanja gunting rambut dan bagi saya yang hanya kerja sebagai nelayan, jumlah itu agak besar kerana ramai anak saya masih sekolah.

"Dengan adanya program ini, bolehlah saya gunakan wang untuk tujuan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 10:08 PM