MANGSA banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sukan Tatau, Bintulu. FOTO Ihsan APM
MANGSA banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sukan Tatau, Bintulu. FOTO Ihsan APM
Ekhwan Haque Fazlul Haque


ENAM pusat pemindahan sementara (PPS) di Bintulu serta Limbang dibuka sejak tengah malam tadi dan pagi ini bagi menempatkan 234 mangsa daripada 77 keluarga berikutan banjir melanda beberapa kawasan di daerah berkenaan.

Di Bintulu, PPS yang dibuka adalah di Dewan Sukan Tatau, Balai Raya Kampung Jabai dan Balai Raya Sebauh.

Selain itu, Dewan Masyarakat Ukong, Dewan Masyarakat Mendamit dan Sekolah Kebangsaan Menuang di Limbang juga dijadikan PPS.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, semua mangsa dipindahkan berikutan trend banjir yang meningkat di kawasan kediaman mereka.

Menurutnya, semua mangsa akan ditempatkan di PPS sehingga keadaan banjir pulih.

"Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku sehingga Ahad ini.

"Semua penduduk dinasihatkan sentiasa berwaspada dan memaklumkan kepada pasukan penyelamat sekiranya berlaku peningkatan air di kawasan kediaman mereka," katanya di Kuching, hari ini.

Katanya, orang ramai juga perlu mematuhi arahan pasukan penyelemat sekiranya diarahkan untuk berpindah.

“Semua agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersiap sedia untuk digerakkan ke kawasan terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 11:18 AM