NORAINI  menunjukkan dokumen berkaitan isu Kedutaan Bangladesh di Wisma HRIH Lotus, Jalan Pahang.
NORAINI menunjukkan dokumen berkaitan isu Kedutaan Bangladesh di Wisma HRIH Lotus, Jalan Pahang.
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pengurusan Wisma HRIH Lotus mengeluarkan arahan pemindahan pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh akhir bulan lalu berikutan melanggar tiga syarat perjanjian menyewa hingga menimbulkan gangguan kepada orang awam.

Pengurus Hartanah Wisma HRIH Lotus Noraini Rashid berkata, susulan laporan Harian Metro berhubung kegiatan ejen haram atau ‘ulat Bangla’ akhir bulan lalu, pihaknya mengambil serius perkara itu sebelum membatalkan perjanjian penyewaan kepada Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh.

“Mengikut persetujuan asal, mereka meminta kami menyediakan pejabat berkeluasan 6,000 meter persegi yang hanya boleh memuatkan 300 hingga 500 individu sehari. Namun syarat itu dilanggar apabila mereka membenarkan kemasukan 3,000 warganya berurusan di pejabat itu setiap hari.

“Selain itu mereka juga membenarkan warganya berkeliaran di luar bangunan hingga menimbulkan kacau ganggu kepada orang awam seperti kesesakan, bunyi bising serta masalah kekotoran.

“Keadaan menjadi semakin tidak terkawal apabila kakitangan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh sendiri mengedarkan pasport yang sudah siap di luar pekarangan wisma.

“Disebabkan mereka melanggar tiga daripada syarat perjanjian dipersetujui sebelum ini, maka penyewaan itu dibatalkan serta merta walaupun tempoh tiga tahun menyewa belum tamat,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, arahan pemindahan berkuatkuasa 14 hari daripada tarikh surat arahan dikeluarkan pada 23 November lalu, namun hingga kini pejabat yang terletak di aras satu wisma itu masih beroperasi seperti biasa.

“Tiga surat dihantar bermula 23 November melalui peguam kami diikuti pada 8 dan 12 Disember lalu, tapi mereka masih menjalankan operasi macam biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 7:08 AM