ANTARA balak yang berjaya dirampas Jabatan Perhutanan Terengganu ketika Ops Katang. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu
ANTARA balak yang berjaya dirampas Jabatan Perhutanan Terengganu ketika Ops Katang. FOTO Ihsan Jabatan Perhutanan Terengganu
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jabatan Perhutanan Terengganu merampas kayu pelbagai spesis termasuk jaras dan balak selain kenderaan bernilai keseluruhan RM228,070 dalam tempoh Ops Katang yang berakhir kelmarin.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, operasi itu diadakan secara bersepadu, berlangsung selama dua minggu mulai 1 Februari lalu di seluruh Terengganu termasuk di Kampung Kuala Jengai, Dungun.

Katanya, nilai kayu dirampas adalah RM58,070, manakala kenderaan membabitkan dua jengkaut dan sebuah lori bernilai RM170,000 serta mengesan lima kesalahan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

"Tujuh kawasan pencerobohan baharu dan lama dikesan di kawasan Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan, Hutan Simpan Gunung Tebu dan Hutan Simpan Hulu Nerus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Roslan berkata, pihaknya menumpaskan kegiatan di 22 lokasi pembalakan haram di dalam hutan simpanan kekal (HSK) selain melakukan semakan di tanah kerajaan, dalam transit dan di kilang industri berasaskan kayu (IBK) di seluruh negeri.

Katanya, operasi bersepadu itu dijalankan dalam usaha mengekang aktiviti pembalakan haram atau kecurian membabitkan khazanah negeri.

"Operasi sebegini akan diteruskan bagi membanteras isu pencerobohan hutan. Malah, kita lihat lebih ramai orang awam tampil menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penerokaan dan pencerobohan hutan kepada kita demi memastikan khazanah alam terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 7:51 PM