Aeron Munajat (tiga dari kanan) bersama kakitangan Forest City membantu anak Orang Asli memilih kelengkapan sekolah ketika Program Kembali ke Sekolah 2018 di Pasaraya Giant, Tampoi.
Aeron Munajat (tiga dari kanan) bersama kakitangan Forest City membantu anak Orang Asli memilih kelengkapan sekolah ketika Program Kembali ke Sekolah 2018 di Pasaraya Giant, Tampoi.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Seramai 90 kanak-kanak Orang Asli Kampung Simpang Arang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, gembira apabila berpeluang membeli pelbagai kelengkapan sekolah baru tajaan syarikat pemaju, Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) di Pasaraya Giant, Tampoi, semalam.

Pengarah Komunikasi Korporat CGPV Aeron Munajat berkata, Program Kembali Ke Sekolah Bersama Kanak-Kanak Orang Asli Kampung Simpang Arang itu membolehkan murid sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun memulakan sesi persekolahan Januari ini dengan lebih bersemangat dan selesa.

Menurutnya, program itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang turut membabitkan penyertaan 50 sukarelawan bagi melancarkan aktiviti beli-belah.

Katanya, sukarelawan berkenaan terdiri daripada pekerja di kawasan dibangunkan CGPV di Forest City, Phoenix Hotel dan Forest City Golf Hotel.

Semua sukarelawan membantu kumpulan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan memilih kelengkapan persekolahan sesuai dan diperlukan mereka.

“Setiap kanak-kanak membeli beberapa kelengkapan sekolah termasuk pakaian seragam sekolah, kasut dan peralatan tulis bernilai RM300.

“Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka kerana dapat memilih sendiri kelengkapan yang bakal digunakan pada sesi persekolahan tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2017 @ 7:34 AM