ALFIAN (tengah), Othman, Tuan Mohd Asri dan Aeron bergambar bersama anak-anak yatim pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Forest City di Pasaraya Giant Tampoi, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
ALFIAN (tengah), Othman, Tuan Mohd Asri dan Aeron bergambar bersama anak-anak yatim pada program Titipan Kasih Harian Metro bersama Forest City di Pasaraya Giant Tampoi, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
Izlaily Nurul Ain Hussein dan Nurul Amanina Suhaini


KESERONOKAN berbelanja kelengkapan Aidilfitri terpancar pada wajah 200 anak-anak yatim dan pelajar miskin pada program amal Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) di Pasaraya Giant Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan di mukim Tanjung Kupang, Gelang Patah buat tahun kedua, ditaja oleh pemaju projek Forest City, Country Garden Pacificview (CGPV).

Bagi pasangan kembar, Muhammad Arif, dan adiknya, Muhammad Afiq Ahmad, 13, program TKHM itu membantu meringankan beban ibunya, Kamariah Abdul Samad, 50, dalam membuat persiapan Aidilfitri.

Muhammad Arif berkata, sejak kematian bapanya, Ahmad Jamil, pada 2015 akibat sakit tua, ibunya yang hanya bekerja kilang dengan pendapatan RM1,000 sebulan membesarkan mereka lapan beradik.

"Sejak ayah meninggal dunia, hidup kami susah, tetapi kakak dan abang yang sudah bekerja turut membantu ibu untuk menanggung perbelanjaan keluarga.

"Terima kasih Harian Metro kerana ini kali kedua kami terpilih menerima sumbangan seumpama ini," katanya yang tinggal di Kampung Pok Kecil, Gelang Patah.

Anak ketujuh dan bongsu itu berkata, mereka sentiasa ingat pesan ibunya supaya selalu bersyukur, berjimat cermat dan bersederhana dalam kehidupan.

Pada majlis itu, semua yang diraikan diberi RM150 seorang untuk membeli kelengkapan Aidilfitri seperti pakaian, kasut, songkok dan tudung.

Mereka turut menerima sumbangan duit raya yang disampaikan Pengarah Komunikasi Korporat CGPV Aeron Munajat, Pengarang Eksekutif Projek Khas The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengerusi TKHM Othman Mamat, Ketua Pegawai Komersial NSTP Alfian Talib dan Pengarang Eksekutif Harian Metro Tuan Asri Tuan Hussein.

Sementara itu, suri rumah, Tugimah Suradi, 43, berkata dia terharu melihat kelima-lima anaknya berusia enam hingga 17 tahun yang ceria memilih kelengkapan pakaian menjelang hari raya.

"Suami saya bekerja sebagai pemandu di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah dengan gaji bulanan kira-kira RM2,500. "Perbelanjaan persekolahan kelima-lima anak sahaja memerlukan RM100 seminggu sedangkan saya pula tidak bekerja.

"Alhamdulillah, dengan sumbangan RM150, secara tidak langsung anak dapat memberi kelengkapan Aidilfitri seperti baju raya, kasut dan songkok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 8:39 PM