KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan di Kilometer 5.1 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan susur Nasa City, Johor Bahru, pada malam Selasa lalu. FOTO Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit kemalangan di Kilometer 5.1 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan susur Nasa City, Johor Bahru, pada malam Selasa lalu. FOTO Ihsan PDRM
Rudy Fazrunisyam Samarudin


POLIS Daerah Johor Bahru Utara (JBU) sedang mengesan van putih yang dipercayai terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan penunggang motosikal berkuasa tinggi terbunuh di Kilometer 5.1 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan susur Nasa City, Johor Bahru, pada malam Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kemalangan pada 11.05 malam itu dipercayai berlaku apabila pemandu van putih terbabit mengubah laluan secara tiba-tiba.

Katanya, tindakan itu menyebabkan Abdul Halim Abu, 43, gagal mengawal motosikal Benelli TNT600 ditunggangnya lalu melanggar van berkenaan.

"Susulan pelanggaran itu, pemandu van terbabit memecut kenderaannya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, mangsa yang berasal dari Ayer Hitam itu mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mohd Taib berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berhubung van berkenaan diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2017 @ 3:44 PM