GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Zatul Iffah Zolkiply


PENGAWAL keselamatan diikat manakala mulutnya ditutup lima penyamun bertopeng bersenjatakan dua parang yang menyamun pasar raya di Bandar Permaisuri, Setiu, hari ini membabitkan kerugian RM200,000.

Suspek dipercayai memecah masuk pasar raya berkenaan melalui jeriji pintu belakang pada 1 pagi sebelum menebuk tiga peti besi manakala satu lagi peti diumpil.

Ketika kejadian, pengawal keselamatan berusia 49 tahun itu sedang bertugas sebelum dia diikat dengan mulutnya ditutup dan mangsa hanya dapat melepaskan diri pada 3.50 pagi.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mohd Deris berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam premis suspek mengikat pengawal keselamatan bertugas.

Beliau berkata, suspek kemudian bertindak menebuk tiga peti besi dan satu lagi peti diumpil dengan keseluruhan wang tunai dianggarkan berjumlah RM200,000 dilarikan.

“Mangsa hanya dapat melepaskan diri tiga jam kemudian sebelum dia menghubungi majikan bagi memaklumkan kejadian itu.

“Majikan mangsa kemudian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati suspek dipercayai warga asing berdasarkan pertuturan mereka ketika melakukan jenayah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan mendapati pasar raya berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem penggera keselamatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana dengan melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 9:52 PM