Syawal Iskandar Rosli,14, (kanan) bersama Shazzwan Hashim,14, (dua dari kanan) menunjukkan remis yang diperoleh mereka.
Syawal Iskandar Rosli,14, (kanan) bersama Shazzwan Hashim,14, (dua dari kanan) menunjukkan remis yang diperoleh mereka.
Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Pesisiran Pantai Tanjung Kepah di Kampung Batu 9 Lekir di sini, menjadi tumpuan ramai termasuk kanak-kanak menghabiskan musim cuti persekolahan dengan mencari pelbagai hasil laut seperti remis, kerang, kepah, kupang, siput sudu dan gayam.

Kanak-kanak, Muhamad Amirul Hakimi Mohd Fadil, 11, berkata, dia yang tinggal di kampung berhampiran memanfaatkan cuti sekolah mencari kupang di pantai itu.

Menurutnya, dia bukan saja menghabiskan masa dengan aktiviti berfaedah malah memperoleh wang tambahan hasil jualan kupang berkenaan.

“Saya pernah dapat kupang dalam lima beg beras 10 kilogram dan semua itu saya bawa balik ke rumah sebelum nenek tolong bersihkan untuk dijual.

“Pada mulanya saya hanya suka-suka saja cari kupang bersama bapa saudara, tetapi disebabkan terlalu banyak saya ambil keputusan untuk jual dari rumah ke rumah dan memperoleh wang tambahan,” katanya.

Menurutnya, pantai itu menjadi tumpuan ramai dari dalam dan luar daerah ini sejak seminggu lalu bagi mencari hasil laut berkenaan.

“Kupang dicari ketika air surut dengan menggunakan sauk atau jaring, tetapi saya guna tangan saja kerana lebih mudah.

“Hujung minggu lebih meriah serta ramai orang berbanding hari biasa dan saya ke sini atas kebenaran keluarga dan akan naik ke darat sebelum air pasang,” katanya.

Bagi Nor Azrina Azlan, 36, dia pulang bercuti di kampung halamannya di Batu 10 Lekir di sini, datang mencari hasil laut itu supaya ia dikenali anak-anaknya.

“Ini kali pertama mereka ke sini dan sebelum ini tidak kenal dan tidak pernah makan remis, jadi sebelum pulang ke rumah saya bawa mereka ke sini untuk mencari remis dan bermain pasir.

“Pada mulanya mereka nampak seperti geli kerana pantai di sini berselut namun lama-lama mereka seronok dan boleh menyesuaikan diri,” katanya yang tinggal di Semenyih, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 10:22 AM