KETUA Pegawai Eksekutif, Ahmad Rafiquddin (kanan sekali) menyampaikan ucapan sebelum memulakan Program.
KETUA Pegawai Eksekutif, Ahmad Rafiquddin (kanan sekali) menyampaikan ucapan sebelum memulakan Program.
Nurul Husna Mahmud


KEDUDUKAN Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Kuala Lumpur kerap menjadi pilihan pengunjung yang ingin menikmati panorama bayu petang bersama keluarga.

Tidak hanya itu, pantai berkenaan sering 'dibanjiri' kaki pancing yang berhasrat 'menakluk' ikan di pesisiran pantai seperti ikan sembilang, belukang, duri dan banyak lagi.

Menurut pengunjung tempatan, Siti Nur Huda Mohammad, 39, lokasi itu menjadi kegemaran seisi keluarganya kerana memiliki kawasan pantai berpasir untuk aktiviti berkelah atau tempat bermain anak-anaknya.

"Hujung minggu jika rasa ingin lari dari kesibukan kota atau bertukar angin, saya akan pergi ke Pantai Remis untuk bersantai bersama keluarga. Biasanya aktiviti berkelah turut disertai dua tiga ahli keluarga ataupun kenalan untuk memeriahkan suasana.

"Walaupun pantai ini tidak sesuai untuk mandi-manda, namun terdapat bahagian pantai tertentu boleh untuk kanak-kanak bermain air. Selain itu, bermain pasir antara aktiviti paling digemari anak jika berada di pantai ini.

"Pantai ini juga sesuai untuk percutian singkat kerana tidak memerlukan tempoh yang lama untuk sampai. Hanya sejam memandu dan boleh balik pada hari yang sama," katanya.

Kata ibu kepada empat orang cahaya mata itu lagi, selain berkelah, pengunjung boleh membeli-belah hasil laut.

"Bagi suri rumah atau ibu yang gemar membeli barangan basah. Di sini juga ada pasar basah yang menjual pelbagai hasil laut yang segar.

"Bersebelahan pasar basah, terdapat pasar malam yang menjual pelbagai juadah makanan dan minuman untuk bersantai sambil menikmati panorama laut,"katanya.

PROGRAM keselamatan dan kualiti alam sekitar di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor anjuran Hospital Pakar KPJ, Rawang.
PROGRAM keselamatan dan kualiti alam sekitar di Pantai Remis, Jeram, Kuala Selangor anjuran Hospital Pakar KPJ, Rawang.

Lokasi ini juga menjadi pilihan pencinta alam dan juga organisasi untuk menganjurkan aktiviti pembersihan pantai sebagai usaha pemeliharaan alam sekitar.

Ia termasuk inisiatif dilaksanakan 50 sukarelawan dari Hospital Pakar KPJ Rawang dan Yayasan Strategik Lestari (YSL) yang menyertai aktiviti pembersihan pantai yang sama baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Rawang, Ahmad Rafiquddin Mohd Amran, pantai yang bersih memberi kesejahteraan kepada pengunjung dan itu salah satu bentuk aspek kesihatan yang penting.

"Penganjuran ini ada tiga misi penting dapat dicapai pertamanya mengenai usaha terus menjaga alam kerana ia juga membabitkan aspek kesihatan dan keselamatan diri baik pekerja atau komuniti.

"Keduanya, kami turut melaksanakannya dengan rakan strategik selain melihat bentuk usahasama dapat dijalinkan demi kebaikan bersama seperti hari ini YSL bersama Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS).

"Pada masa sama merapatkan lagi hubungan silaturahim antara staf KPJ Rawang dengan aktiviti sebegini," katanya.

Beliau sendiri cukup teruja untuk bersantai di pantai Remis yang dilihat sebagai lokasi beristirehat dan percutian keluarga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Yayasan Strategik Lestari Dr Mohd Fuad Mohd Salleh berkata, pihaknya berharap lebih ramai lagi agensi dan korporat boleh menjalin kerjasama dalam usaha menjaga alam sekitar.

BERGAMBAR kenangan setelah selesai program keselamatan dan kualiti alam sekitar di Pantai Remis.
BERGAMBAR kenangan setelah selesai program keselamatan dan kualiti alam sekitar di Pantai Remis.

"Usaha menjaga alam sekitar perlu dipergiatkan untuk kelangsungan generasi akan datang dan pantai antara ekosistem penting yang mana menjadi lokasi rekreasi untuk penduduk dan pengunjung sekitar.

"YSL komited bukan hanya aktiviti gotong-royong pembersihan semata-mata, kami juga turut menyokong program ke arah pendidikan berteraskan lestari agar usaha untuk menjaga alam sekitar dapat diperkasakan.

"Apatah lagi pendedahan ini perlu disampaikan kepada semua peringkat masyarakat supaya dapat memainkan peranan bersama untuk terus menjaga alam sekitar," katanya.

Kira-kira 170 kilogram sampah berjaya dikumpul dalam tempoh empat jam di pantai terbabit.

Inisiatif murni membabitkan aktiviti pembersihan pantai seiring adalah sempena Environmental Safety and Quality.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 6:30 AM