Noor Hidayah Tanzizi


TIGA lokasi panas atau lorong tikus dikenal pasti di Perak yang dipercayai menjadi laluan masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia ke negara ini.

Untuk rekod, kawasan pendaratan dan operasi keluar warga asing itu ialah di perairan Hutan Melintang, Bagan Datuk, Pantai Remis, Manjung dan Lekir, Sitiawan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kedudukan geografi ketiga-tiga lokasi itu yang terbuka dan hampir dengan perairan sempadan menjadi faktor kenapa ia terdedah kepada laluan masuk secara haram.

Menurutnya, antara tiga lokasi berkenaan, Lekir menjadi lokasi terbaharu dikesan digunakan sindiket penyeludupan migran namun aktiviti itu dipercayai sudah berlaku sejak beberapa tahun lalu.

“Keadaan muka bumi yang mempunyai laluan sungai kecil terutama di bahagian selatan Perak iaitu Hutan Melintang hingga Lekir juga memberi peluang kepada warga asing untuk masuk,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat APMM Perak di Lumut, hari ini.

Katanya, hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan turut mendapati dua lokasi di Indonesia menjadi jalan permulaan masuk ke Malaysia dengan jarak kira-kira 60 batu nautika daripada lokasi itu ke perairan Perak.

“Jika keadaan laut dan cuaca baik, mereka (warga asing) boleh sampai ke tiga lokasi itu dalam masa dua hingga tiga jam saja bergantung kelajuan bot,” katanya.

SHAHRIZAN menunjukkan tiga lokasi di kawasan perairan Perak iaitu Hutan Melintang, Bagan Datuk; Pantai Remis, Manjung dan Lekir, Sitiawan dikesan menjadi titik panas laluan masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI)  Indonesia. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
SHAHRIZAN menunjukkan tiga lokasi di kawasan perairan Perak iaitu Hutan Melintang, Bagan Datuk; Pantai Remis, Manjung dan Lekir, Sitiawan dikesan menjadi titik panas laluan masuk dan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia. FOTO Noor Hidayah Tanzizi

Shahrizan berkata, pihaknya mempergiatkan operasi serta rondaan di perairan Perak dengan memfokuskan kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia dan pesisir pantai bagi menyekat kemasukan warga asing sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19 selain kesalahan lain.

Katanya, sepanjang PKP, APMM menggerakkan dua aset dengan kekuatan 40 anggota untuk penugasan operasi di perairan Perak sepanjang 85 kilometer dengan keluasan 12,944 kilometer persegi.

“Kami memfokuskan perairan di sempadan bagi menyekat kemasukan warga asing dalam situasi ketika ini dan pemantauan keluar (warga asing balik ke Indonesia) turut dijalankan dengan menempatkan sebuah lagi aset di pesisir pantai.

“Selain itu, sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) juga sentiasa memantau sebarang pergerakan di sepanjang perairan negara dan setakat ini tiada tangkapan dilakukan.

“APMM akan terus mempergiatkan pemantauan di titik panas berkenaan terutama pada Ramadan dan Aidilfitri ini (untuk warga Indonesia yang mahu masuk semula ke Malaysia untuk berkerja selepas raya),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 4:46 PM