Nyugen Thanh Thai mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi sogokan RM1,000 kepada pegawai APMM. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Nyugen Thanh Thai mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi sogokan RM1,000 kepada pegawai APMM. FOTO Mohd Syafiq Ridzuan Ambak
Zatul Iffah Zolkiply


TAUKE bot Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM1,000 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tertuduh, Nyugen Thanh Thai, 34, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada ejen Kerajaan Malaysia iaitu Kapten (M) Robert Teh Geok Chuan yang bertugas di KM PEKAN, Daerah Maritim 8, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang di dalam Zon Maritim Malaysia (ZMM), 8.50 pagi pada 22 November lalu.

Suapan itu sebagai dorongan untuk melepaskan bot nelayan nombor pendaftaran KG 90658 TS daripada ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 13 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, APMM yang melakukan rondaan menahan bot nelayan.

Hasil pemeriksaan mendapati bot itu gagal melaporkan ketibaan kepada Jabatan Perikanan Malaysia ketika memasuki perairan Malaysia yang menjadi kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Ketika itu, suspek memberi sejumlah wang sebanyak RM1,000 supaya tidak mengambil tindakan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 1:37 PM