GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Jumlah kuota jemaah serta kos mengerjakan haji akan diputuskan dan diumumkan awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, setakat ini penambahan kuota atau sebaliknya bergantung kepada keadaan semasa di tanah suci.

Katanya, pihaknya belum berbincang secara muktamad mengenai perkara itu.

"Pengarah Eksekutif Tabung Haji (TH) dan Ketua Pegawai Eksekutif TH baru balik dan Insya-Allah ia belum lagi diputuskan, kebetulan Menteri Haji (Arab Saudi) itu baru saja dilantik.

"Mungkin selepas ini akan diputuskan, kita akan dipanggil mesyuarat bersama untuk bincang," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-38, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif TH Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Mengenai muzakarah berkenaan, beliau berkata, ia berlangsung selama tiga hari bermula hari ini sehingga 8 Disember ini.

Katanya, ia membuka peluang kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta) dan ilmuan agama berkongsi ilmu dan pengalaman dalam menetapkan keseragaman hukum hakam dan penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji.

"Saya percaya sudah sampai masanya bakal haji Malaysia melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi dan terbuka dengan cara baharu untuk menunaikan haji.

"Jika dilihat pada musim haji 2019 dan 2020, kerajaan Arab Saudi juga sudah memulakan proses urusan haji mereka secara dalam talian bermula daripada permohonan haji sehinggalah pemilihan dan saluran makluman terkini kepada bakal haji terpilih," katanya.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan e-TAIB, aplikasi yang dibangunkan TH untuk memudahkan urusan jemaah haji bersoal jawab mengenai hukum hakam ibadat haji semasa di tanah suci melalui perbualan langsung bersama guru-guru agama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:45 PM