PENDUDUK Orang Asli di Kampung Sangwai berpindah ke dewan orang ramai. FOTO Ramli Ibrahim
PENDUDUK Orang Asli di Kampung Sangwai berpindah ke dewan orang ramai. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


KIRA-KIRA 50 penduduk Orang Asli Kampung Sangwai, Lojing, Gua Musang, lari menyelamatkan diri selepas berlaku tanah runtuh yang hampir menimbus kediaman mereka.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kira-kira 3 petang Jumaat.

Tanah runtuh yang berlaku 40 meter dari kediaman penduduk itu menyebabkan tanaman milik penduduk Orang Asli musnah.

Kini, penduduk membabitkan 30 keluarga itu terpaksa menumpang di Dewan Orang Ramai Kampung Sangwai kerana bimbang kejadian sama berulang.

Johar John, 39, berkata, penduduk terpaksa meninggalkan rumah kerana khuatir tanah runtuh itu menimbus kediaman mereka.

Katanya, ini adalah kali keempat tanah runtuh berlaku di kawasan itu, sejak Selasa lalu, berikutan hujan lebat dan aktiviti pembukaan kebun sayur di bukit berhampiran.

“Kejadian terbaru memusnahkan tanaman penduduk. Tiada usaha pihak terbabit bagi menghalang kerja menyodok bukit itu walaupun laporan polis dibuat pada 21 November," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Salina Anjang, 40, pula berkata, ketika kejadian tanah runtuh itu dia sedang memasak dan terpaksa meninggalkan rumah dengan segera.

“Saya masih trauma dengan kejadian tanah runtuh itu dan tidak berani untuk pulang ke rumah. Setiap kali hujan, saya dan keluarga bimbang kejadian tanah runtuh berulang.

“Harapan saya supaya tindakan segera diambil,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan penduduk Orang Asli di Kampung Sang Wai, Lojing, berdepan risiko hilang penempatan susulan tanah runtuh itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku akibat pembukaan kebun sayur, sejak kira-kira tiga bulan lalu.

Selain kampung itu, sembilan perkampungan etnik berkenaan yang terdapat di sekitar Lojing turut menghadapi risiko sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 7:42 PM