LOKASI mangsa tertimbus di lokasi kejadian tanah runtuh di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing selepas hujan lebat, petang semalam. FOTO RAMLI IBRAHIM
LOKASI mangsa tertimbus di lokasi kejadian tanah runtuh di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing selepas hujan lebat, petang semalam. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja di kebun sayur, hilang dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Lojing, dekat sini, petang semalam.

Akhund Md Ziarul, 37, disedari hilang oleh majikannya selepas tidak pulang ke bangsal penginapan dalam kawasan kebun sayur tidak jauh dari situ.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki itu daripada tukang kebun di kebun sayur terbabit, 3 petang hari ini.

Beliau berkata, tukang kebun itu khuatir seorang pekerjanya hilang disebabkan kebun musnah berikutan hujan lebat, banjir dan tanah runtuh.

"Pengadu berusia 32 tahun itu cuba mencarinya di lokasi kejadian, namun gagal berikutan masih hujan dan cuaca buruk.

"Kawasan kejadian itu agak berbahaya kepada orang ramai dan pemilik kebun terbabit takut untuk menghampiri lokasi kerana hujan serta air lumpur masih berlaku.

"Lokasi kejadian tanah runtuh itu berada dalam kawasan kebun sayur milik lelaki berkenaan yang berasal dari Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang," katanya.

Sebelum ini, kejadian tanah runtuh berlaku di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Lojing pada 3.30 petang semalam berikutan hujan lebat.

Ratusan bongkah batu, kayu dan lumpur memenuhi jalan dua lorong di situ sejauh dua kilometer hingga jalan terbabit ditutup kepada semua kenderaan.

Sik berkata, susulan laporan diterima, operasi mencari dan menyelamat mangsa dimulakan hari ini membabitkan tujuh polis, enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 7:28 PM