Shamsul Munir Safini


KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani menyalurkan bantuan RM3 juta kepada sektor perikanan yang terjejas di Pulau Pinang ekoran bencana banjir dan air pasang baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bantuan itu terbahagi kepada dua, bantuan kepada nelayan dan penternak ikan yang terjejas serta membaik pulih infrastruktur perikanan yang rosak.

Katanya, bantuan berjumlah RM930,000 adalah bagi membantu 280 nelayan dan penternak ikan yang terkesan ekoran air pasang besar ketika bencana itu.

Menurutnya, sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi membaik pulih infrastruktur perikanan yang rosak.

Ahmad Shabery berkata, sektor perikanan ikan sangkar di negeri ini terutama di Pulau Aman menyumbang kepada 50 peratus keseluruhan hasil negara.

Beliau berkata, dia menerima laporan bahawa kerugian dialami pengusaha ikan sangkar di Pulau Aman dianggarkan sejumlah RM43 juta.

“Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga memperuntukkan RM80,000 bagi membaiki sangkar ternakan dan pondok ikan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Seberang Perai.

“Bagi segmen perikanan tangkapan pula, 119 nelayan terjejas di negeri ini dan membabitkan lima jeti, 30 rumah serta 99 sampan,” katanya ketika hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Nelayan di Pulau Aman hari ini.

Beliau berkata, untuk segmen penternakan ikan atau akuakultur pula, 164 pengusaha membabitkan 4,300 sangkar dan 407 kolam ternakan terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 7:53 PM
Ahmad Shabery melihat sangkar ikan yang rosak akibat dipukul ribut di Pulau Aman dalam lawatan kerja sehari di Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam
Ahmad Shabery melihat sangkar ikan yang rosak akibat dipukul ribut di Pulau Aman dalam lawatan kerja sehari di Pulau Pinang. FOTO Ramdzan Masiam