DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) bergambar bersama Pengerusi-pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang menerima sumbangan semasa lawatan kerja dan perjumpaan bersama pesawah negeri Pulau Pinang di Institut Pertanian Bumbong Lima, Kepala Batas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek (tengah) bergambar bersama Pengerusi-pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah yang menerima sumbangan semasa lawatan kerja dan perjumpaan bersama pesawah negeri Pulau Pinang di Institut Pertanian Bumbong Lima, Kepala Batas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Zulfa Mohamad


SEBANYAK RM9.7 juta diperuntukkan bagi menyediakan bantuan tanaman semula padi kepada pesawah di Pulau Pinang yang terjejas akibat banjir, minggu lalu.

Laporan awal mendapati hampir 10,900 hektar sawah di negeri ini membabitkan 4,800 pesawah terjejas dengan bencana berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya turut memberi bantuan awal RM200 kepada pesawah di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) bagi meringankan beban mereka.

"Bantuan RM200 itu sepatutnya dibayar tahun depan, tetapi disegerakan bagi mengurangkan beban pesawah yang terjejas dengan banjir.

"Kementerian simpati dengan nasib pesawah yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini dan kita bagi bantuan agar mereka dapat terus mengerjakan sawah," katanya selepas perjumpaan dengan pesawah di Institut Pertanian Bumbung Lima, Kepala Batas, hari ini.

Bantuan awal itu membabitkan kerjasama Padiberas Nasional Berhad (Bernas), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Pertubuhan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) dan TEKUN Nasional.

Ahmad Shabery berkata, selain pesawah pihaknya turut melihat kerugian dialami sektor tanaman, perikanan, akuakultur dan penternakan.

Beliau berkata, dilaporkan 460 orang penanam sayur dan buah di Pulau Pinang terjejas akibat banjir selain 110 nelayan, 160 penternak ikan dalam sangkar dan 90 penternak haiwan.

"Saya sudah arahkan pegawai berkaitan untuk melihat keadaan penternak terutama ketika bencana banjir dan mengambil langkah tertentu seperti menyediakan pusat bekalan makanan untuk ternakan bagi memastikan ternakan tidak terputus makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 4:42 PM