Nurul Hidayah Bahaudin

 

JUAL beratus gelung paip, soket serta penyambung paip tiruan kepada kepada kontraktor binaan dan orang ramai.

Itu kegiatan dilakukan seorang peniaga di dua premis di Jalan Metro Perdana Timur dan Jalan Ihsan, Kepong di sini, yang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur, kelmarin.

Dalam operasi dijalankan serentak 11 pagi itu, sepasukan anggota penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur merampas pelbagai barangan tiruan bernilai lebih RM143,000.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof W Taib berkata, pihaknya menerima aduan daripada sebuah syarikat pengeluar produk asal berhubung penjualan produk tiruan menggunakan jenama syarikat berkenaan.

 "Hasil pemeriksaan di premis itu, kami menemui stor rahsia yang menempatkan pelbagai barangan tiruan.

 "Dalam serbuan di Jalan Metro Perdana Timur, kami merampas 45 gelung paip tiruan pelbagai saiz dan 200 label palsu dianggarkan bernilai lebih RM29,000.

"Sebanyak 196 gelung paip tiruan pelbagai saiz, 298 penyambung paip dan dan 84 soket dianggarkan bernilai RM114,000 dirampas dalam serbuan kedua di Jalan Ihsan," katanya.

 Wan Mhd Yusof berkata, pemilik premis itu menafikan stor rahsia di kedua-dua premis berkenaan adalah miliknya.

  "Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (2) (b) Akta Perihal Dagangan (APD) 2011," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 6:00 PM