ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa barangan tiruan yang dijual.
ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK memeriksa barangan tiruan yang dijual.
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: “Abang mari masuk, boleh pilih beg, baju dan seluar...semua jenama USA (Amerika Syarikat), jangan risau, harga boleh runding,” itu antara skrip dua peniaga di Plaza GM dan kedai Jalan Kenanga, di sini, untuk menarik pelanggan membeli barangan tiruan.

Mereka dikesan menawarkan pelbagai beg dan pakaian jenama terkenal Under Armour dan Calvin Klein.

Bagaimanapun peniaga terbabit tergamam sebaik menyedari pelanggan yang ditawarkan barangan tiruan itu sebenarnya anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Dalam operasi jam 3 petang semalam, pemilik dan beberapa pekerja kedai tidak sempat melarikan diri sebaik ditunjukkan kad kuasa oleh pegawai KPDNKK.

Difahamkan, pegawai KPDNKK terpaksa menyamar pelanggan berikutan kawasan itu dikawal ketat tonto yang sering memantau pergerakan pihak berkuasa.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof Wan Taib berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan daripada wakil cap dagang sah di negara ini dan risikan selama seminggu.

Katanya, dalam serbuan ini, 684 beg tiruan, baju dan seluar pelbagai jenis dirampas dan disita kerana melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jumlah barangan tiruan yang dirampas bernilai RM6,975 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Ketika serbuan, ada beberapa pekerja di dalam premis dan kami mengambil keterangan mereka bagi membantu siasatan bagi mengenal pasti pembekal barangan tiruan itu,” katanya.

Wan Mhd Yusof berkata, premis terbabit menjual barangan tiruan pada harga murah berbanding harga produk tulen bagi menarik pelanggan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, peniaga boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap unit barangan atau dipenjara tidak lebih tiga tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:42 AM