PANTAI Tanjong Gemok yang didakwa menjadi lokasi buaya muncul. Gambar kecil, gambar yang tular di Facebook. FOTO Mohd Khidir Zakaria
PANTAI Tanjong Gemok yang didakwa menjadi lokasi buaya muncul. Gambar kecil, gambar yang tular di Facebook. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


“DULU pun pernah tular perkara sama tetapi kami tidak menerima laporan rasmi dari orang ramai," kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mat Kasim berhubung buaya di kawasan Pantai Tanjong Gemok yang tular sejak beberapa hari lalu.

Ini berikutan ada pengunjung mendakwa mereka sering melihat reptilia itu di pantai Tanjong Gemok dan perairan Kuala Lukut.

Pengunjung turut memuat naik gambar serta video dalam Facebook namun tidak secara jelas sama ada ia buaya atau objek lain.

Menguatkan lagi dakwaan itu apabila ada pemancing memberitahu kerap terserempak dengan reptilia yang timbul di permukaan air.

Dalam pada itu, Zamri berkata, MPPD tidak menerima laporan rasmi mengenai penemuan buaya yang tular di Facebook.

"Kami akan terus memantau jika benar terdapat buaya di kawasan pantai terbabit. Bagaimanapun, saya menasihati sesiapa yang terserempak reptilia itu, segera membuat laporan.

"Ini membolehkan kita memanjangkan perkara ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) supaya tindakan segera diambil," katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 8:00 PM