Zatul Iffah Zolkiply dan Nazdy Harun


Kuala Berang: Simpati dengan musibah menimpa 250 keluarga mangsa banjir dari Kampung Basung dan Kampung Pasir Dula, Harian Metro (HM) bersama GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (Giant) turun padang bagi menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada mangsa.

Selain 250 keluarga mangsa banjir, Madrasah Darul Ansar dan menerima bantuan barangan keperluan dan makanan sempena program Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant di Terengganu, semalam.

Pengarang Kumpulan HM, Datuk Mustapa Omar berkata, ia sebahagian program khidmat masyarakat khas bagi membantu mangsa banjir.

"Titipan Kasih HM adalah program tahunan kami dan kali ini ia diadakan khas bertujuan membantu mereka yang menjadi mangsa banjir akhir bulan lalu.

"Bagi menjayakan misi ini, kami mendapat kerjasama Giant yang sudi menyumbangkan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, minuman dan bekalan makanan selain peralatan pembersihan seperti baldi, penyapu, penyodok sampah dan sabun.

"Apa yang diharapkan, bantuan yang disumbangkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa banjir di kawasan yang teruk dilanda banjir.

"Selain itu, kami terharu dengan sambutan penduduk kampung yang mengalu-alukan kehadiran kami dan berharap hubungan mesra ini berkekalan," katanya yang ditemui pada program Misi Bantuan Banjir Titipan Kasih Harian Metro-Giant di Kampung Basung, semalam.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) HM yang juga Pengerusi Titipan Kasih HM, Othman Mamat, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Mohd Shahrizal Ayub dan Ketua Biro HM Terengganu, Isma Ismail.

Misi yang mendapat tajaan Giant itu akan ke Kelantan hari ini bagi mengagihkan bantuan sama kepada penduduk terjejas banjir.

Selain itu, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota), Honda Malaysia Sdn Bhd dan Bermaz Motor Trading Sdn Bhd turut menaja kenderaan Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP yang menyertai misi berkenaan.

Mustapa berkata, seramai 50 kakitangan HM, Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP dan Sukarelawan Big Hearted Giant terbabit dalam misi terbabit.

Katanya, rombongan sama turut menghulurkan sumbangan barangan kepada Madrasah Darul Ansar, di sini, selain melakukan kerja gotong-royong mengecat dan mengemas sekitar kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Shahrizal berkata, sebanyak RM60,000 diperuntukkan Giant bagi menyediakan keperluan berkenaan.

Katanya, sumbangan itu bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di Terengganu yang mengalami kerugian termasuk kerosakan harta benda akibat musibah.

"Seramai 15 sukarelawan Giant turut serta dalam misi ini dan kita berharap kerjasama ini dapat diteruskan terutama dalam membantu masyarakat yang memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:39 AM
Mustapa (depan, lima dari kanan) dan Othman (depan, empat dari kiri) bersama  penerima bantuan mangsa banjir.
Mustapa (depan, lima dari kanan) dan Othman (depan, empat dari kiri) bersama penerima bantuan mangsa banjir.
Sukarelawan Harian Metro bergotong-royong mengangkat barang sumbangan.
Sukarelawan Harian Metro bergotong-royong mengangkat barang sumbangan.
PELAJAR  tahfiz  ringan tulang berbakti bersama-sama.
PELAJAR tahfiz ringan tulang berbakti bersama-sama.
PENERIMA bantuan mengaminkan doa.
PENERIMA bantuan mengaminkan doa.