KHAIROL Nizam (dua dari kanan) bersama Chin (kanan) dan Cheah pada majlis Pelancaran Mayflower.com.my.
KHAIROL Nizam (dua dari kanan) bersama Chin (kanan) dan Cheah pada majlis Pelancaran Mayflower.com.my.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Kumpulan Mayflower (Mayflower) memperkukuhkan lagi perniagaannya sebagai peneraju utama perkhidmatan pelancongan negara menerusi pelancaran portal dalam talian dikenali mayflower. com.my, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chin Ten Hoy berkata, portal pelancongan paling mantap dan komprehensif di Asia Tenggara itu memanfaatkan rangkaian luas Mayflower Holiday dalam industri pelancongan yang dibina sejak lima dekad lalu.

Menurut beliau, dengan ciri mesra pengguna may flower.com.my menawarkan pelbagai tawaran hebat membolehkan pengguna menempah tiket penerbangan, penginapan dan pengangkutan dalam satu pakej dalam talian.

“Melalui portal ini, kami menyediakan akses kepada lebih 80 syarikat penerbangan yang menghubungkan lebih 5,000 destinasi terkenal, 380,000 hotel dan lebih 2,000 pakej percutian di seluruh dunia.

“Sempena pelancarannya hari ini (semalam) hingga Ahad ini, pelanggan diberi tawaran eksklusif sehingga 20 peratus bagi semua tambang penerbangan, 80 peratus tempahan hotel dan 50 peratus ketika jualan waktu emas selain tawaran khas satu jam pada harga RM11,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan portal mayflower.com.my pada Karnival Pelancongan Mayflower yang berlangsung hingga 12 November ini di Aras Bawah South Court Mid Valley Megamall, di sini, semalam.

Pelancaran karnival dan portal disempurnakan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Khairol Nizam Saad.

Ten Hoy berkata, sebagai insentif tambahan, syarikat juga memberikan ganjaran kepada pelanggan menerusi peraduan Beli, Melancong dan Menang yang menawarkan hadiah bernilai RM288,000.

“Syaratnya, pengguna hanya perlu merancang pelancongan mereka menerusi portal mayflower.com.my dari sekarang hingga 31 Mac 2018.

“Cabutan bulanan menawarkan hadiah hebat termasuk hadiah utama iaitu Renault Captur selain tiket penerbangan dan penginapan di hotel lima bintang,” katanya.

Karnival Pelancongan Mayflower disokong TC Euro Cars Sdn Bhd sebagai rakan niaga rasmi, CHUBB (rakan insurans pelancongan rasmi), Go Asia Plus, Travelfan, Alfiorado.com, Tripadvisor, dan Kerajaan Metropolitan Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2017 @ 9:48 AM