PEKERJA membuat  persiapan akhir sempena Pameran MATTA 2017 yang mula dibuka pada hari ini.
PEKERJA membuat persiapan akhir sempena Pameran MATTA 2017 yang mula dibuka pada hari ini.
Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2017 optimis mampu mencapai sasaran lebih 100,000 pengunjung pada pameran yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula hari ini.

Presiden MATTA Datuk KL Tan berkata, sasaran yang ditetapkan itu mampu mencapai sehingga 110,000 pengunjung berbanding penganjuran MATTA yang lalu memandangkan keadaan ekonomi yang dilihat semakin baik.

“Pada penganjuran MATTA lalu, kita berjaya mencapai sasaran sebanyak 100,000 pengunjung dan diharap dapat menggalakkan lebih ramai pengunjung pada pameran kali ini.

“Dengan adanya tawaran pakej pelancongan murah meliputi 160 ejen berlesen pakej domestik dan antarabangsa sekali gus dapat memenuhi kehendak dan permintaan pengguna,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Hadir sama, Mantan Presiden MATTA Datuk Hamzah Rahmat, Timbalan Presiden MATTA Akil Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif MATTA Phua Tai Neng.

Menurut Tan, pelbagai promosi dan tawaran menarik disediakan kepada pengunjung termasuk cabutan bertuah dan diskaun ke atas tiket penerbangan, kapal pelayaran, percutian, taman tema dan sebagainya.

“Pelbagai program menarik dan menyeronokkan disenaraikan sesuai dengan status pameran sebagai acara pelancongan paling berprestij di negara ini.

“Pada pameran kali ini, pengunjung boleh membuat perbandingan harga pakej yang ditawarkan pelbagai organisasi pelancongan, penerbangan, pelayaran, ejen pelancongan dan hotel serta taman tema” katanya.

Tan berkata, pengunjung juga berpeluang memilih pelbagai tawaran istimewa dan mendapatkan informasi di 1,314 gerai pameran pakej domestik dan antarabangsa.

“Semua pengunjung yang hadir ke pameran MATTA digalakkan mengambil bahagian dalam pertandingan dengan membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 untuk pakej percutian antarabangsa dan RM100 untuk pakej pelancongan domestik untuk memenangi hadiah utama.

Tambahnya lagi, orang ramai juga digesa menggunakan pengangkutan awam Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) sepanjang pameran selama tiga hari bagi mengelak kesesakan lalu lintas dan kesukaran mencari tempat letak kenderaan.

Pameran MATTA September 2017 dibuka kepada orang ramai bermula hari ini dari jam 10 pagi hingga 9 malam dengan bayaran RM4 seorang dan percuma untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 6:40 AM