AirAsia bersedia membawa tetamu ke Langkawi.
AirAsia bersedia membawa tetamu ke Langkawi.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: AirAsia bersedia berganding bahu dengan pemain industri pelancongan di Langkawi dengan memperkenalkan nilai terbaik untuk tempahan penerbangan, hotel dan kombo penerbangan dan hotel (SNAP), serta memastikan pengalaman perjalanan dengan tahap keselamatan tertinggi sebelum dan ketika penerbangan di seluruh operasinya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, AirAsia turut menawarkan tiket penerbangan serendah RM12 sehala bagi penerbangan dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh dan Kota Bharu ke Langkawi bermula sekarang hingga 19 September ini untuk perjalanan antara 16 September 2021 sehingga 26 Mac 2022.

"Orang ramai juga boleh menempah kenderaan untuk ke lapangan terbang terus dari airasia Super App melalui airasia ride, dengan nilai terendah di pasaran daripada RM55 sehala (hanya tersedia untuk Lembah Klang sahaja) dengan menggunakan kod promosi RIDE55 dari sekarang hingga 30 September 2021.

"Rebutlah tawaran kombo SNAP dengan penerbangan dua hala dan penginapan tiga hari dua malam daripada RM99 untuk seorang di hotel bertaraf empat hingga lima bintang di Langkawi.

"Tawaran terhad ini bermula dari 9 September untuk tempoh perjalanan antara 16 September dan 31 Disember 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi yang ingin menempah penginapan secara berasingan, nikmati diskaun tambahan 10 peratus untuk semua hotel di Langkawi dengan menggunakan kod promosi VAX8TION10 pada ikon 'Hotel' di airasia Super App dari sekarang hingga 19 September 2021 untuk perjalanan antara 16 September dan 31 Disember 2021.

Riad berkata, AirAsia juga sudah membuat persediaan rapi untuk kembali terbang dan ingin menjemput tetamu untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih meyakinkan dan selamat bersama AirAsia.

"Keselamatan menjadi keutamaan kami, di samping sentiasa berusaha memastikan perjalanan yang lancar bagi semua tetamu.

"Di AirAsia, kami komited melaksanakan semua protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat untuk sepanjang perjalanan orang ramai, termasuk di kawasan terminal sebelum dan selepas penerbangan, di laluan rayap dan kargo serta ketika penerbangan.

"Selain itu, kami telah mempertingkatkan prosedur dan inovasi lebih baik untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, penerbangan adalah kaedah pengangkutan paling selamat, bukan hanya kerana langkah keselamatan menyeluruh dilaksana syarikat penerbangan itu, malah ciri pesawat seperti sistem penapisan udara di dalam kabin dengan peredaran udara dari atas ke bawah menghindari risiko jangkitan semasa dalam penerbangan.

"Kajian yang dilakukan oleh agensi penerbangan antarabangsa juga telah membuktikan bahawa risiko jangkitan di dalam penerbangan adalah hampir sifar," katanya.

Syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka itu turut menasihati tetamu mematuhi nasihat perjalanan penting termasuk memastikan mereka layak untuk melakukan perjalanan sebelum menempah penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 6:13 PM