KHARIJAH menunjukkan al-Quran miliknya yang rosak akibat banjir. FOTO Syahid Sokri
KHARIJAH menunjukkan al-Quran miliknya yang rosak akibat banjir. FOTO Syahid Sokri
Syahid Sokri


USTAZAH terduduk dan menangis pilu sebaik melihat semua kitab dan buku rujukan agama miliknya serta pelajarnya berselerak di ruang tamu rumahnya yang digenangi air bah paras dada di Taman Sinar Mentari Fasa B , Bedong kelmarin.

Kharijah Ariffin, 49, berkata, dia berasa amat sedih melihat kerosakan yang berlaku kerana semua kitab berkenaan adalah kitab lama dan sukar diperolehi masa kini.

"Sukar untuk saya mencari koleksi kitab-kitab berkenaan kini untuk dibuat rujukan kerana ia ditanda dengan lengkap ketika pengajian dahulu untuk dijadikan rujukan pelajar.

"Lebih menyedihkan 30 naskah al-Quran pelajar saya basah dan ada yang rosak akibat diselaputi lumpur.

"Saya perlu menggantikan semula kepada mereka demi meneruskan pengajian mereka sehingga khatam al-Quran," katanya ketika ditemui di Taman Sinar Mentari Fasa B, Bedong, semalam.

Menurutnya, pada masa sama dia merayu sumbangan pihak yang prihatin untuk menggantikan naskah kitab suci itu untuk pelajarnya.

"Sekurang-kurangnya sumbangan al-Quran yang baru dapat memberi semangat baru kepada mereka," katanya.

Kharijah berkata, selain kitab dan buku agama yang rosak, dia turut berdepan kerosakan barangan elektrik dan perabot selepas banjir berkenaan berlaku.

"Banjir yang melanda kali ini begitu teruk dan hampir menenggelamkan kawasan taman perumahan ini.

"Semua peralatan elektrik musnah dan tidak dapat digunakan, manakala perabot keadaan tunggang langgang di setiap ruang rumah.

"Peralatan utama seperti mesin basuh dan peti sejuk rosak dan tidak dapat dibaiki manakala kebanyakkan perabot rosak akibat terendam air.

"Ada pakaian yang kami terima namun tidak mencukupi menyebabkan kebanyakan kami di taman ini tidur dengan baju basah dan menggigil kesejukan," katanya.

KEADAAN al-Quran dan buku agama milik Kharijah yang rosak selepas rumahnya dilanda banjir. FOTO Syahid Sokri
KEADAAN al-Quran dan buku agama milik Kharijah yang rosak selepas rumahnya dilanda banjir. FOTO Syahid Sokri

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Lebai Ali, Zaki Ahmad berkata, dia mewakili penduduk amat mengharapkan jika ada sukarelawan yang sanggup turun untuk membantu penghuni di taman itu membersihkan rumah selepas banjir.

"Kebanyakan mangsa seakan buntu dan masih trauma dengan kejadian banjir sehingga tidak tahu apa perlu dilakukan terlebih dahulu dalam usaha membersihkan rumah mereka kerana ditenggelami banjir.

"Pada masa yang sama, mereka turut memerlukan sokongan moral daripada mana-mana pihak supaya keadaan kembali menjadi stabil sepenuhnya.

"Saya juga menasihati, semua mangsa banjir supaya tidak meninggalkan pusat pemindahan sementara (PPS), bimbang bantuan tidak sampai kepada mereka.

"Saya berharap mangsa mengikut nasihat pegawai Jabatan Kebajikan Malaysia JKM bertugas supaya bantuan dapar disalurkan sepenuhnya tanpa ada yang keciciran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 11:25 AM