Dua petugas pusat pelupusan ayat suci di Taman Yayasan disini menunjukkan ayat suci yang telah melalui proses pelupusan dalam bentuk bata. FOTO AHMAD ISMAIL
Dua petugas pusat pelupusan ayat suci di Taman Yayasan disini menunjukkan ayat suci yang telah melalui proses pelupusan dalam bentuk bata. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


Segamat: Pejabat Kadi Daerah Segamat menerima lebih 1 tan naskah al-Quran dan buku agama yang musnah akibat banjir melanda daerah ini baru-baru ini, untuk dilupuskan.

Kadi Daerah Segamat, Mohd Fauzi Bachok berkata, pihaknya membuka lapan pusat pengumpulan selaras dengan tanggungjawab pihak berkuasa agama itu untuk menjaga kesucian ayat suci al-Quran dengan melupuskan naskah secara tertib dan mengikut syarak.

Katanya, pihaknya menerima naskhah al-Quran dan buku agama rosak yang dihantar ke lokasi pengumpulan itu sejak beberapa hari lalu dan orang ramai masih boleh berbuat demikian sehingga esok.

"Banjir mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan harta benda termasuk naskhah al-Quran dan buku agama di masjid, surau, sekolah, pusat tahfiz dan rumah penduduk.

"Justeru, Pejabat Kadi Daerah Segamat menetapkan lapan pusat pengumpulan di beberapa lokasi berhampiran lokaliti terjejas banjir iaitu Masjid Taman Yayasan, Surau Kampung Paya Lang 1 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap.

"Manakala di Masjid Kampung Sulir, Masjid Kampung Jawa bagi DUN Pemanis dan Masjid Makam Lubok Batu, Sekolah Agama Gemerih bagi DUN Jementah; Masjid Al-Muhajirin Bukit Siput bagi DUN Kemelah dan Masjid Tenang Stesen bagi DUN Tenang," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Mohd Fauzi, tiada sebarang bayaran dikenakan bagi tujuan pelupusan yang diadakan secara berkala mengikut keperluan semasa.

"Al-Quran yang rosak akan dilupuskan mengikut kaedah yang menepati hukum syarak bagi memastikan kemuliaannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 1:39 PM